Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan militan Negara Islam (IS) hari ini memuat naik klip video tidak bertarikh membayangkan mereka akan menyerang Perancis.

Tanpa banyak maklumat diperoleh mengenai video berkenaan, seseorang dalam rakaman itu memberitahu bahawa Perancis "tidak akan hidup aman selagi pengeboman berlanjutan".

Bagaimanapun media tempatan mengambil sikap sangat berhati-hati dengan maklumat itu kerana kekurangan bukti serta begitu awal disebarkan.

Perancis diisytihar darurat hari ini selepas beberapa lokasi di dua daerah negara itu digegarkan dengan serangan pengganas.

Walaupun pada awalnya pihak berkuasa mengumumkan jumlah kematian sebanyak sekurang-kurangnya 150 orang, angka itu disemak semula petang ini (waktu Malaysia) menjadi 120 orang.

Video berkenaan disebarkan melalui sayap propaganda IS, Al-Hayat Media Centre, menunjukkan seorang lelaki berjambang bertutur dalam bahasa Arab.

#ParisAttacks TIMELINE: Suicide bombers, blasts, shootouts https://t.co/vpf9ygEelL https://t.co/HEAnjCVxqp

— RT (@RT_com) November 14, 2015

Dia menyeru Muslim Perancis melakukan serangan di negara itu jika tidak mampu berkunjung ke Syria bagi mengangkat senjata.

“Selagi kamu terus mengebom, mereka tidak akan hidup aman. Nak ke pasar pun mereka takut," katanya.

Syria menjadi antara lubuk utama IS yang sedang berperang untuk menguasai negara berkenaan.

Mereka pernah menawan sebahagian wilayah di Syria - yang sehingga kini masih bergolak kerana usaha pemberontak mahu menggulingkan Presiden Bashar al-Assad - sebelum pasukan tentera pelbagai negara menyerang mereka bertubi-tubi.

Sementara itu sebentar tadi Presiden Perancis Francois Hollande menyalahkan IS atas serangan maut hari ini.

Selepas mengadakan mesyuarat tergembar bersama kabinetnya, Hollande mengesahkan seramai 127 orang terbunuh dalam insiden disifatkannya sebagai "perang" itu.

"Serangan dirancang dengan tersusun dan dikelolakan dari luar bersama bantuan di Perancis.

Hollande juga menganggap pengganas itu sebagai "pengecut" dan berjanji mengambil apa saja tindakan wajar untuk menghadapi "pengganas".

"Walaupun Perancis terluka, ia akan tetap bangkit semula," katanya.

Lihat Komen
ADS