Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) memperuntukkan perlindungan data lima tahun untuk molekul kecil atau ubat-ubatan konvensional.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, yang mendakwa beliau telah mengelirukan orang ramai mengenai perlindungan data di bawah TPP.
Beliau berkata bagi biologik, TPPA mengakui perlindungan untuknya boleh dicapai melalui cara yang berbeza.
"TPPA menyediakan pilihan untuk negara-negara memilih, iaitu untuk menyediakan perlindungan data lapan tahun, atau sebagai pilihan, lima, bersama-sama dengan langkah-langkah lain di samping mengiktiraf keadaan pasaran untuk biologik.
"Langkah-langkah dan keadaan ini mungkin termasuk peraturan dan kelulusan paten sedia ada bagi biologik dan biosimilar," kata Mustapa dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata Malaysia memilih pilihan alternatif menyediakan data perlindungan lima tahun, yang mencerminkan rejim sedia ada di negara ini dalam menyediakan data perlindungan untuk ubat-ubatan konvensional.
Mustapa berkata perjanjian mengenai perlindungan data biologik akan dikaji semula dalam 10 tahun.
"Bagi Malaysia, kita mempunyai lima tahun dari tarikh penyertaan kepada penguatkuasaan perjanjian. Ini bermakna peruntukan TPP bagi biologik akan berkuat kuasa hanya selepas itu.
"Telah dijelaskan beberapa kali sebelum ini kepada anggota Kaukus Parlimen dan pihak berkepentingan lain. Tetapi, kami ingin mengulangi bahawa isu 'ubah suai' ubat-ubatan adalah selaras dengan amalan semasa Malaysia," tambahnya.
Nurul Izzah membuat dakwaan berkenaan dalam temu bual dengan sebuah portal dalam talian.
-Bernama
