Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Guan Eng terus kritik GST, sifatkan sebagai 'celaka'

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini terus mengkritik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai "celaka".

Beliau yang juga ketua menteri Pulau Pinang menyeru supaya cukai tersebut dihapuskan kerana ia memang membebankan rakyat .

Menyedari dirinya mungkin akan disaman kerana menyebut GST sebagai "celaka", namun beliau tidak takut untuk didakwa ke mahkamah.

"Bajet macam mana dapat membantu rakyat? Pertama mesti hapuskan GST, setuju tak? Celaka punya GST. Ini celaka punya GST kena hapuskan.

"Saya tahu, saya cakap GST celaka, mungkin dia (perdana menteri) akan saman saya, dia akan dakwa saya di mahkamah.

"Tak apalah, (kalau nak) dakwa, dakwalah. Celaka betul-betul, celakalah GST," kata Lim ketika berucap di Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2015 hari ini.

Walaupun beliau menyeru supaya GST dihapuskan, namun bajet alternatif Pakatan Harapan pada 21 Oktober ini tidak menghapuskan GST akan tetapi menyenaraikan semua barang dan perkhidmatan sebagai cukai berkadar sifar.

Sementara itu, Lim turut mendakwa pelbagai skandal termasuklah 1MDB menyebabkan kerajaan Najib terpaksa melaksanakan cukai itu untuk menambah pendapatan kerajaan.

"1MDB menyebabkan kerajaan pusat susahkan rakyat dengan laksana GST, supaya rakyat bayar lebih cukai kepada kerajaan.

"Kalau tak ada GST, kerajaan persekutuan akan bankrap. Nasib baik ada GST boleh selamatkan kerajaan BN supaya kerajaan dia tak jadi bankrap.

"Tetapi untuk selamatkan kerajaan BN, dia (Najib) rela lihat rakyat Malaysia jadi bankrap," kata Lim.

Selain itu, Lim juga berkata bajet yang membantu rakyat juga harus menghapuskan tol lebuhraya utara-selatan.

"Kita juga perlu memastikan harga minyak negara tidak naik. Harga minyak seluruh dunia turun, Malaysia pula naik, saya juga tidak faham.

"Kemerosotan nilai mata wang ringgit juga perlu diselesaikan. Hanya dengan Najib turun, nilai mata wang baru boleh kembali biasa," katanya.

Seru ROS lulus pindaan perlembagaan

Walaupun DAP meminda perlembagaan parti pada tahun lalu untuk membuka kuota 30 peratus ahli jawatankuasa pusat kepada wanita, namun kata Guan Eng, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) masih belum meluluskan pindaan tersebut.

"Kita menjadi parti pertama yang buka kuota 30 peratus ahli jawatankuasa pusat kepada wanita. Ini satu detik sejarah.

"Kita minta ROS luluskan pindaan perlembagaan, hormati wanita, hormati peranan yang dimainkan oleh wanita, hormati kepimpinan wanita.

"Janganlah kerana sebab-sebab lain, tak mahu luluskan pindaan perlembagaan DAP," katanya.

Lihat Komen
ADS