Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas tiga tuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Twitter membabitkan Sultan Selangor ketika krisis jawatan Menteri Besar Selangor, tahun lepas.
Hassan, 64, yang juga seorang peguam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Slamat Yahya.
Dia turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pilihan bagi setiap pertuduhan asal itu.
Hassan didakwa atas dua pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Twitter @Hakarim51, di Pejabat Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), No: 40, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A, Seksyen 9 di sini, kira-kira jam 5 petang 15 Ogos 2014.
Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan menggunakan Twitter itu untuk membuat dan memulakan pernyataan yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.
Selain itu, Hassan juga didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di laman sosial Twitter @zunarkartunis di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, Kuala Lumpur, kira-kira 3 petang pada 10 Februari lepas.
Dia turut didakwa atas tuduhan pilihan menggunakan Twitter itu untuk membuat dan memulakan pernyataan yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.
Pertuduhan hasutan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan pilihan pula dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Hakim Slamat membenarkan Hassan dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan itu dan menetapkan 15 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Abdul Mutalib sementara Hassan diwakili peguam Michelle Yesudas.
- Bernama
