Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dapur restoran Perancis ranap ditimpa bukit runtuh
Diterbitkan:  Nov 16, 2015 9:00 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

Dapur sebuah restoran hidangan Perancis berhampiran Menara Ambank di Jalan Raja Chulan di ibunegara ranap berikutan kejadian bukit runtuh pada jam 2.30 pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata kejadian itu berlaku apabila sebuah tembok penahan konkrit bernilai RM1 juta yang terletak di belakang restoran itu ranap dan menimpa dapur restoran 'La Vie En Rose'.

"Impak daripada runtuhan itu mengakibatkan saluran gas petroleum cair (LPG) untuk kegunaan memasak di restoran berkenaan bocor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Azizan berkata ini merupakan kejadian kedua di tempat sama dalam tempoh kurang daripada setahun. Kejadian pertama berlaku pada penghujung tahun lepas.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.53 pagi tadi mengenai kejadian tanah runtuh, dan setibanya di tempat kejadian anggota kami mengesan tanah runtuh di tempat kejadian serta terhidu bau gas," katanya.

Beliau berkata bomba telah mengenal pasti lokasi saluran gas yang bocor itu dan berusaha masuk ke bahagian dapur berkenaan bagi membawa keluar empat tong gas LPG seberat 50 kilogram setiap satu.

Azizan berkata bacaan kebocoran gas, yang dijalankan setiap sejam dari 3 petang tadi di restoran itu, semakin menurun iaitu daripada 19 peratus kepada 11 peratus pada 4 petang tadi.

"Hanya setelah mencapai satu hingga dua peratus, barulah kawasan itu boleh dianggap selamat," katanya.

Menurutnya kedua-dua tahap bacaan itu masih diklasifikasikan bahaya, dan bacaan itu dijangka menurun ke tahap satu hingga dua peratus pada lewat malam ini, katanya.

"Kami akan masuk dan membawa keluar kesemua tong gas LPG yang dihempap tanah runtuh itu, dan mengarahkan anggota untuk membawa keluar barang-barang di premis

berkenaan sekiranya bacaan mencapai tahap selamat," katanya.

Langkah membawa keluar tong gas berkenaan penting bagi mengelak sebarang insiden letupan berlaku.

"Selain itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga telah meletakkan tiga alat pengesan bagi mengawal pergerakan tanah di sekitar lokasi runtuhan.

"Bomba juga mengarahkan penghuni di sebuah apartment di belakang restoran itu mengosongkan kediaman mereka buat sementara waktu atas faktor keselamatan," katanya.

Azizan berkata sebanyak dua jentera dan sebuah lori tangki serta 70 anggota bomba dari Balai Bomba Hang Tuah dan KLCC Jalan Tun Razak termasuk anggota dari DBKL dikerah ke tempat kejadian.

Sementara itu, pemilik dan penghuni sebuah pangsapuri berhampiran lokasi runtuhan, yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 74, berkata beliau yang nyenyak tidur ketika kejadian tidak menghiraukan bunyi dentuman kuat kerana menganggap ia letupan biasa.

"Namun saya terkejut apabila mendapati bahagian belakang restoran berhampiran kediaman saya, musnah akibat dihempap tanah selepas saya bangun tidur pada jam 9.30 pagi tadi," katanya.

Lee yang sudah menetap lebih 50 tahun di sini, juga terkejut kerana kejadian tanah runtuh itu masih lagi berlaku walaupun tembok penahan konkrit telah dibina tahun lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS