Salah urus projek insinerator: Tiada kes, kata menteri

   

PARLIMEN l Siasatan dakwaan salah urus projek insinerator di negara ini telah ditutup kerana hasil siasatan mendapati tidak ada kes.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata, rumusan itu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"SPRM telah selesai menjalankan siasatan berhubung kes ini. Hasil siasatan mendapati tidak ada kes dan kes ini telah ditutup,” kata Low dalam jawapan Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming yang meminta perdana menteri menyatakan maklumat terkini status siasatan SPRM ke dalam penanugerahan projek mini insinerator di Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Cameron Highlands dan Pulau Tioman.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung perkara itu pada Mac tahun ini.

Ini selepas kumpulan Anti Insinerator Kebangsaan (Gaik) membuat beberapa laporan polis di seluruh negara, berhubung laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tahun lalu mengenai kemungkinan terdapat unsur rasuah dalam projek-projek insinerator yang dianugerahkan oleh kerajaan.

PAC sebelum ini mendapati Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menganugerahkan empat projek pembinaan insinerator kepada syarikat CXN Technology Sdn Bhd (XCNT) tanpa usaha wajar sehingga menyebabkan kelewatan dan ketidakcekapan.

Ong tahun lalu mendedahkan bahawa syarikat XCNT dianugerahkan projek untuk membina empat mini insinerator. Ini berlaku walaupun syarikat itu menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 mencatatkan prestasi yang lemah.

Di sebalik kegagalan membina dan menyelenggara empat insinerator bernilai hampir RM200 juta itu, kontrak syariakt itu terus diperbaharui.

Ong pada November tahun lalu berkata, syarikat berkenaan juga dianugerahkan kontrak bernilai RM3.5 juta pada April tahun lalu untuk terus membaiki dan menguruskan insinerator Pulau Pangkor.

Insinerator Pulau Pangkor di Perak pula dilaporkan tidak beroperasi mengikut spesifikasi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In