Pembangkang bersolidariti bersama rakyat Perancis
Pemimpin pembangkang hari ini membuat kunjungan hormat ke Kedutaan Perancis bagi menyatakan simpati mereka terhadap insiden berdarah yang menimpa Paris pada Jumaat lalu.
PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) tiba di luar pintu Kedutaan Perancis pada 10.30 pagi sebelum memasuki untuk bertemu Duta Perancis ke Malaysia Cristophe Penot.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata mereka meluangkan masa bersama kedutaan itu selama 40 minit bagi menyatakan simpati terhadap tragedi yang berlaku di negara itu.
"Kita datang untuk bersama-sama (dengan) orang Perancis dalam masa mereka menghadapi tragedi ini dan kita menyatakan berkali-kali bahawa kita tidak bersetuju dan mengutuk sekeras-kerasnya membunuh orang awam dan membuat keganasan di mana-mana.
"Wakil kedutaan menerima kunjungan kami dengan terbuka bahawa kami sedang bersolidariti (dengan rakyat Perancis)," katanya kepada pemberita di luar kedutaan negara itu
Turut hadir dalam kunjungan itu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Pemangku Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai dan Timbalan Pengerusi AMANAH Salahudin Ayub.
Penasihat Umum AMANAH Ahmad Awang dan MP Seputeh Teresa Kok turut bersama-sama dalam rombongan itu.
Sementara itu, sekitar jam 12.30 tengah hari, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula tiba di Kedutaan Perancis itu bagi membuat kunjungan yang sama.
Hadi berkata tujuan PAS berjumpa dengan wakil kedutaan itu bagi menyatakan simpati termasuk menyampaikan mesej bahawa Islam menentang keganasan yang berlaku kepada Perancis.
"Yang pertamanya (kami) menyatakan takziah, yang kedua menyampaikan mesej Islam yang sebenar di mana perkara yang berlaku di luar ajaran Islam sendiri.
"Melampau adalah gejala tidak diizinkan oleh Islam, apa lagi orang awam. Yang ketiga kita perlu beri mesej apa yang berlaku bukan gambaran agama kita dan semua agama menentang perkara ini,” katanya.
Turut hadir antaranya Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Idris Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nasaruddin Tantawi, dan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz.
Dilaporkan kejadian berdarah di Paris Jumaat lalu mengorbankan 129 nyawa.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
