Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shah Alam, Klang dilanda banjir kilat lagi
Diterbitkan:  Nov 17, 2015 5:51 PM
Dikemaskini: 2:29 PM

Shah Alam terus mengalami masalah banjir akibat hujan lebat petang ini.

Menurut Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), paras air naik di kilometer 15.7 Lebuh Raya Persekutuan arah selatan dari Sungai Rasau menuju ke Batu Tiga.

“Lorong tengah dan kiri terhalang,” menurut tweet badan itu sebentar tadi.

Sementara itu, di Twitter, orang ramai mula memuat naik gambar keadaan banjir di sekitar ibu negeri Selangor itu.

Ia antaranya memaparkan kawasan sekitar Seksyen 13 Shah Alam ditenggelami air.

Semalam Shah Alam dinaiki air selepas hujan lebat selama dua jam menyebabkan puluhan kereta tersangkut.

Selain jalan raya terhalang, banjir semalam juga menyebabkan perkhidmatan Komuter dan kereta api barangan terjejas apabila landasan berdekatan stesen Batu Tiga ditenggelami air.

Kejadian banjir di Shah Alam 2 dan Puncak Alam semalam dikenal pasti berpunca daripada air tidak dapat mengalir keluar dan kolam tadahan pula penuh.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali berkata kerajaan negeri meluluskan lebih RM2 juta untuk kerja menyelenggara kolam takungan susulan kejadian itu.

Sementara itu, Bomba dan Penyelamat Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan lima kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami banjir kilat akibat hujan lebat petang ini.

Penolong pengarahnya Mohd Sani Harul berkata pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian itu mulai 3 petang hingga 5 petang tadi melibatkan kawasan Seksyen 13, Stesen Komuter Batu 3 dan Taman Subang Intan di Shah Alam yang dinaiki air sehingga mencecah paras 0.6 meter.

Sementara di Klang, kawasan terlibat ialah di Jalan Padang Jawa dan Jalan Batu 3.

"Sehingga 5 petang ini, keadaan masih terkawal dan tiada kerja-kerja pemindahan mangsa dilakukan," katanya.

Semalam, sembilan kawasan di Shah Alam dan Klang mengalami banjir kilat akibat hujan lebat sejak tengah hari tadi, yang menyebabkan kesesakan lalu lintas setelah banyak jalan tidak dapat dilalui.

Kawasan terbabit ialah Seksyen 13, Seksyen 20, Seksyen U8, Stesen Komuter Batu 3, Persiaran Kerjaya dan Tol Bukit Jelutong, di Shah Alam manakala di Klang ialah di Kampung Bukit Kerayong, Taman Sentosa dan Jalan Kebun Nenas.

Lihat Komen
ADS