Serangan Paris, TPPA tumpuan sidang kemuncak APEC

M Saraswathi, Bernama        

Serangan ganas di Paris Jumaat lepas, yang mengorbankan 129 orang, dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), dijangka menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak Para Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-23 yang bermula di Manila pada Rabu.

Memang sudah semestinya Filipina meningkatkan tahap keselamatan, menugaskan semua aset udara, darat dan lautnya dalam memastikan keselamatan 17 pemimpin, termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, pada sidang kemuncak dua hari itu.

ISIS kini mengancam Amerika Syarikat bahawa negara itu mungkin sasaran seterusnya.

Tiada sesiapa pun, terutama tuan rumah Filipina, mahu keganasan yang menimpa Paris oleh tiga pasukan penyerang IS, yang mendorong Presiden Perancis Francois Hollande mengisytiharkan 'Perancis kini dalam peperangan.'

Pada mesyuarat peringkat menteri pada Selasa, serangan ganas itu mendapat perhatian dengan hampir kesemua pemimpin menyuarakan simpati dan takziah kepada keluarga 129 mangsa yang terbunuh dalam serangan pada malam Jumaat.

Malaysia yang diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, menegaskan bahawa sebagai sebuah negara Islam sederhana, Kuala Lumpur bersatu dengan dunia mengutuk sebarang tindakan keganasan.

Para pemimpin yang menghadiri forum tahunan itu dijangka berdiri teguh dengan Perancis, walaupun APEC merupakan perhimpunan pemimpin bagi membincangkan kerjasama ekonomi dan perdagangan serta pelaburan serantau.

Presiden Filipina Benigno S.Aquino III, akan mempengerusikan Sidang Kemuncak bertema "Membangunkan Ekonomi Terangkum, Membangunkan Dunia Yang lebih Baik' yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemimpin lain termasuk Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dan Perdana Menteri New Zealand John Key, Presiden Vietnam Truong Tan Sang, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan Presiden China Xi Jinping.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Indonesia JokoWidodo, bagaimanapun yang bersetuju menghadiri forum itu pada peringkat awal, tidak dapat hadir disebabkan isu-isu domestik.

Selain serangan ganas, TPPA dijangka turut menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak APEC di sini memandangkan daripada 21 ekonomi APEC, 12 adalah anggota TPPA.

Para pemimpin 12 ekonomi itu dijangka menghadiri mesyuarat mengenai TPPA yang dijadual pada Rabu untuk mencari kaedah terbaik dalam membawa pakatan itu ke tahap seterusnya seawal mungkin.

Ekonomi APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong-China, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taiwan, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Ekonomi APEC yang bukan anggota TPPA ialah China, Hong Kong-China, Indonesia, Korea Selatan, Papua New Guinea, Filipina, Rusia, Taiwan dan Thailand.

APEC mengutamakan empat bidang untuk meningkatkan ekonomi serantau iaitu meningkatkan agenda penyepaduan ekonomi serantau serta memperkukuh penyertaan perusahaan kecil dan sederhana dalam pasaran serantau dan dunia.

Ia juga mahu lebih banyak pelaburan dalam pembangunan modal insan dan membangunkan komuniti berdaya tahan dan mampan.

Antara lain, APEC juga telah mengambil tindakan untuk melaksanakan pelan tindakan Beijing sebagai sumbangan APEC dalam merealisasikan Perjanjian Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP), kata Setiausaha Perdagangan Filipina Gregory L. Domingo.

Malaysia adalah antara jawatankuasa pengubal draf Kajian Strategik Kolektif FTAAP, yang dijangka dimuktamadkan dan dikemukakan pada Sidang Kemuncak APEC akan datang di Peru.

Malaysia yang merupakan anggota pengasas APEC yang dibentuk pada 1989, memperjuang prinsip kesukarelaan, tidak terikat dan konsensus bersama yang akhirnya diterima pakai oleh APEC.

Prinsip ini kekal digunakan sehingga ini.

Pada 1994, APEC menetapkan Matlamat Bogor bagi mencapai perdagangan dan pelaburan perdagangan terbuka di rantau Apec menjelang 2020, menerusi pengurangan tarif dan menghalang semua bentuk langkah perlindungan.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In