Parlimen simpati tapi tolak kabung seminit bagi mangsa tebusan

Kow Gah Chie        

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini melahirkan rasa simpati kepada keluarga tebusan Malaysia Bernard Then yang diculik dan kemudiannya dipenggal kepalanya oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf di Pulau Jolo, Filipina.

Dewan bagaimanapun, tidak memberi penghormatan berkabung dengan mendiamkan diri selama seminit.

Menjelaskan rasional di sebalik tindakan itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee berkata tradisi untuk bertafakur atau mendiamkan diri selama seminit dikhususkan untuk ketua negara dan ahli parlimen.

"Bagaimanapun, saya lahirkan rasa simpati kepada keluarga mendiang Bernard Then yang dilaporkan dibunuh di selatan Filipina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab permohonan Stephan Wong (DAP-Sandakan) yang mahu Dewan yang bermula pagi ini memberikan penghormatan dengan mendiamkan diri selama seminit.

Bernard Then Ted Fen dipancung hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiba di Manila, semalam untuk persidangan dua hari Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Komander Kumpulan Petugas Bersama Sulu Brigadier Genera Alan Arrojada mengesahkan jurutera 39 tahun itu dipancung sekitar jam 4 petang di kubu kuat Abu Sayyaf di Jolo, Filipina.

Kejadian itu berlaku seminggu selepas mereka sebelum ini membebaskan seorang tahanan Thien Nyuk Fun, pengurus restoran Ocean King Seafood yang diculik bersama Then pada Mei lalu.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In