Husam sedia debat isu pertemuan PAS-Umno 2008
ADUN PAS Datuk Husam Musa sedia berdebat secara terbuka dengan Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali untuk membuktikan bahawa terdapat pertemuan antara PAS dan Umno di Selangor pada 2008.
"Saya bersetuju untuk debat terbuka dengan siapa saja, termasuk Cikgu Pa (Mustafa Ali)," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Bekas naib presiden PAS itu berkata Mustafa bebas untuk menentukan tarikh dan topik debat tersebut.
Husam menegaskan perjumpaan PAS-Umno yang didakwanya berlangsung pada 2008 kekal menjadi sebahagian daripada sejarah dan terpulang kepada pengundi di Selangor untuk membuat penilaian.
"Arah perbincangan dalam perjumpaan 2008 itu berubah kerana perundingnya telah berjaya diubah.
"Tetapi fakta adanya perundingan di saat tidak munasabah seperti itu akan kekal sampai bila-bila," katanya.
Husam berkata cadangan Mustafa untuk turut memanggil MP Shah Alam Khalid Samad dengan sendirinya membenarkan dakwaan beliau bahawa berlakunya pertemuan berkenaan.
"Ada pun pertanyaan beliau sama ada saya menjadi alat DAP, saya pertanyakan kembali kepada cikgu: Adakah cikgu kini sedang menjadi alat Umno sekali lagi?
"Ada apa-apa ke cikgu telah dapat? Sanggupkah cikgu menanggung akibat tidak berterus terang dengan ahli selama ini?" soal Husam.
Sementara itu, berhubung hasrat Pemuda PAS Kelantan yang sedia menganjurkan debat tersebut, Husam berkata sayap parti itu dialu-alukan untuk berbuat demikian.
"Pemuda boleh aturkan saya berdebat atau berforum dengan mana-mana pimpinan kerajaan negeri yang ada.
"Baik tajuk berkerajaan mahu pun tajuk politik. Baik isu yang telah saya bangkitkan atau belum. Saya bersedia," katanya.
Selain membuat dakwaan tersebut, Husam juga mendakwa kerajaan Kelantan bertanggungjawab mengenai pembalakan haram di hutan simpan di negeri itu.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.