ADUN Semambu ADUN Lee Chean Chung hari ini mempersoalkan pembabitan firma milik kerajaan negeri Pahang, Technology Resources Sdn Bhd (PTR) dalam projek usaha sama RM500 juta walaupun ia mempunyai rekod prestasi yang buruk.
Lee merujuk kepada usaha sama PTR dengan Maximum Concept Green Technology Sdn Bhd untuk membina sistem penguraian sisa pepejal negara yang menggunakan teknologi hijau seperti yang dinyatakan dalam jawapan bertulis DUN Pahang.
Projek ini diterajui oleh syarikat usaha sama Pahang Asia Biomass Sdn Bhd yang akan dibangunkan sepanjang tempoh 10 tahun.
Lee berkata siri pertama laporan Ketua Audit Negara 2014 mengesahkan bahawa PTR telah mencatat prestasi yang buruk.
Menurutnya, PTR mencatatkan kerugian untuk 5 tahun berturut-turut dan jumlah kerugian terkumpul meningkat kepada RM2.12 juta
Sehubungan itu, Lee menuntut satu kertas putih dibentangkan dalam dewan dengan membutirkan pelaburan PTR bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap syarikat itu.
“Saya menjangka bahawa rakyat tidak akan yakin dengan usaha sama tersebut melainkan satu kertas putih dibentangkan dalam dewan dengan membutirkan pelaburan PTR selama ini," katanya dalam satu kenyataan.
Lee juga menggesa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya menjelaskan masalah pengurusan PTR atas kedudukannya sebagai pengerusi syarikat.
Menurut Lee, pengakuan bahawa PTR sekarang terpaksa mencebur diri dalam bidang penanaman kelapa sawit untuk menjana pendapatan bukan petanda baik bagi sebuah syarikat teknologi yang kononnya menunjukkan prestasi yang baik.
“PTR yang diberi amanah untuk memperjuangkan inisiatif Multimedia Super Corridor (MSC) Malaysia dan merupakan pusat sehenti untuk pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri Pahang terpaksa menceburkan diri dalam bidang sawit.
“Bolehkah kita menyifatkan PTR sebagai satu projek sakit?” soalnya.
