Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Demi maruah, DAP saran Hasan 'cari makan' berundur
Diterbitkan:  Nov 19, 2015 12:10 PM
Dikemaskini: 4:14 AM

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyarankan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin supaya meletak jawatannya kerana kenyataan 'cari makan' ataupun diheret ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Menurut Lim, tindakan itu bagi menentukan sama ada kenyataan Hasan yang juga adalah ahli parlimen Rompin membawa malu dan satu penghinaan kepada PAC dan Parlimen.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Hasan memburukkan lagi keadaan dengan menyalahkan media kerana melaporkan apa yang beliau benar-benar luahkan.

"Oleh kerana PAC mahu semua saksi yang tampil di hadapannya untuk bercakap benar, bagaimana PAC boleh mempunyai pengerusi yang mempunyai reputasi yang bertentangan dengan standard yang tinggi itu, iaitu kejujuran dan integriti ?" kata Lim pada ucapannya di majlis pelancaran AMANHAH cawangan Gelang Patah di Kangkar Baru malam semalam.

Hasan semalam, pada sidang akhbarnya memaklumkan PAC tidak perlu memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi keterangan berhubung isu 1MDB.

Apabila diasak lebih lanjut, Hassan berkata: "Janganlah, saya pun nak cari makan juga."

Beliau kemudiannya mengeluarkan kenyataan media mendakwa terdapat salah faham berhubung penggunaan “ayat cari makan” itu.

Hasan berkata beliau sebenarnya menyediakan makan tengah hari untuk petugas media bagi mengeratkan hubungan dengan kumpulan itu.

“Ketika sidang media hampir tamat, saya menjemput petugas media untuk makan tengah hari dan selepas itu secara bergurau saya bercakap 'saya pun cari makan' bagi mewujudkan suasana lebih mesra dengan petugas media.

“Saya memaklumkan kepada petugas media bahawa percakapan saya itu mengenai 'saya pun cari makan' tidak harus dilaporkan disebabkan ia adalah sekadar gurauan kerana sebelum ini saya menyatakan buat masa ini tidak perlu untuk memanggil perdana menteri,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS