Rundingan untuk membebaskan tebusan yang diculik oleh militan Abu Sayyaf di Filipina menjadi sukar mereka mengenakan syarat tambahan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Zahid berkata ini berlaku di sebalik janji militan itu untuk membebaskan kedua-dua tebusan, Bernard Then dan Thien Nyuk Fun, yang diculik dari Sandakan, Sabah, pada Mei lalu.
"Kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri (Sabah) mengusahakan sedaya upaya melepaskan kedua-kedua mangsa tetapi malangnya apa yang berlaku amat mendukacitakan.
“Pihak berkenaan berjanji dengan perunding kita untuk melepaskan kedua-duanya.
"Tetapi malangnya, mereka meletakkan beberapa syarat tambahan. Dan ini amat tidak dialu-alukan perunding kita," kata Zahid pada satu sidang media selepas majlis perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat bagi mengukuhkan kerjasama dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah berat di Kuala Lumpur.
Thien dibebaskan pada 8 November lalu, tetapi Then dilaporkan dibunuh oleh penculiknya.
Semalam, seorang pekerja pembersihan menjumpai guni yang memuatkan kepala mangsa yang dipenggal di Pulau Jolo.
Pihak berkuasa tentera Filipina sedang berusaha untuk mengesahkan, daripada bukti DNA, sama ada ia memang kepala Then.
"Kita sudah berhubung dengan mereka melalui pihak Polis Diraja Malaysia dan kita akan mengusahakan mayat itu, jika benar, untuk dihantar ke keluarga dan dikebumikan ikut cara keagamaan.
"Kita amat bersimpati dengan keluarga," katanya.
