Dialog Husam, Mustafa: 'Bola' di kaki Khalid

   

Mengakui "terkilan tetapi akur" terhadap arahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali meminta bekas ahli parlimen parti itu, Khalid Samad, "membuat pencerahan" berhubung isu kerajaan perpaduan dibangkitkan Datuk Husam Musa baru-baru ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan beliau, Mustafa yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung PAS mendakwa dia terpanggil untuk berdebat dengan Husam ekoran "fitnah dan pendustaan" dilemparkan terhadap parti berkenaan.

"Oleh kerana saya tahu, malah terlibat dengan peristiwa yang menjadi rujukan tentang pertemuan antara pemimpin Umno dan PAS beberapa hari selepas pilihan raya umum ke-12 lalu, maka saya berkewajiban untuk membuat penjelasan dan meletakkannya pada perspektif yang betul.

"Oleh itu, saya mohon Khalid Samad, jika beliau sanggup dan bersedia untuk membuat pencerahan tentang peristiwa ini," katanya.

Beberapa hari lalu Pemuda PAS Kelantan dilaporkan sedia membuka ruang menganjurkan majlis dialog antara Mustafa dan Husam berkenaan isu pertemuan pimpinan PAS - Umno pada 2008.

Khalid tak tertakluk

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata pihaknya sedia menjadi pengajur atau moderator kepada majlis yang dicadang diadakan di Kota Bharu. Mereka juga mahu Khalid - kini Ahli Parlimen Shah Alam dilibatkan sama.

Khalid, kata Ahmad Fadhli, juga dikaitkan sebagai salah seorang pemimpin PAS yang berjumpa dengan pimpinan Umno ketika itu.

Mustafa yang kini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS berkata, Khalid perlu menjelaskan empat perkara dalam penerangannya itu nanti iaitu:

  1. Siapa yang meminta untuk membuat perjumpaan
  2. Mengapa Khalid, Nasharuddin Mat Isa (ketika itu Timbalan Presiden PAS) dan Mustafa sanggup bertemu pemimpin Umno
  3. Apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu
  4. Apakah hasil daripada perbincangan berkenaan

Kata Mustafa, disebabkan Khalid bukan lagi ahli PAS, bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu tidak tertakluk kepada arahan setiausaha agung sebelum ini.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan melarang sebarang debat atau dialog diadakan di luar parti, sekali gus menggagalkan rancangan melihat Mustafa dan Husam bersemuka mengenai dakwaan cubaan mewujudkan kerajaan perpaduan di Selangor.

Sementara itu, mengulas mengenai rancangan dialog atau debat dengan Husam, Mustafa berkata, dia akur dengan larangan berkenaan walaupun "sedikit terkilan".

Mustafa juga mengakui tidak memberitahu mana-mana pimpinan PAS atau sesiapa mengenai hasratnya untuk bersemuka dengan Husam.

"Saya tidak mewakili pimpinan PAS dan tidak juga mewakili Dewan Harian PAS.

"Saya mewakili diri saya sendiri sebagai seorang ahli PAS yang merasa terpanggil untuk berbuat sesuatu apabila melihat fitnah dan pendustaan dilemparkan sedemikian rupa," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In