Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amerika tak berperang dengan Islam tapi lawan IS

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak berperang dengan Islam.

Obama mengulas keperluan untuk melawan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) di medan perang serta bagaimana semua orang boleh memainkan peranan untuk memusnahkan organisasi pengganas.

Bercakap dalam sidang media hari ini, Obama berkata dalam kepelbagaian masyarakat, semua pihak boleh memainkan peranan dan pihaknya tidak menakut-nakutkan, mengabaikan satu sama lain atau melayan sesetengah orang yang berbeza, hanya kerana agama dan bangsa.

"Ia akan menjadi propaganda IS, tindakan mereka yang benar-benar palsu, yang mesti kita tolak sepenuhnya, bahawa bagaimana kami dikatakan berperang dengan seluruh agama.

"Amerika Syarikat tidak boleh berperang dengan mana-mana agama kerana Amerika terdiri daripada pelbagai agama, diperkukuhkan dengan orang dari setiap agama, termasuk orang Islam Amerika," tegas beliau di Kuala Lumpur.

[Baca berita asal]

Sementara itu Bernama melaporkan Obama menegaskan bahawa Amerika Syarikat akan terus bekerjasama dengan sekutunya di seluruh dunia - dari Perancis hinggalah ke negara di rantau ini, termasuk Malaysia - untuk memerangi dan mengalahkan IS, yang baru-baru ini mendawka bertanggungjawab terhadap serangan ganas di Paris pada 13 Nov, yang mengorbankan 127 orang.

Menyifatkan kumpulan ganas itu sebagai 'sekumpulan pembunuh', Obama berkata IS tidak akan berjaya menyemai perasaan takut dalam minda manusia atau menjadikan manusia lupa kepada nilai-nilai yang menjadi pegangan mereka.

"Prejudis dan diskriminasi membantu IS serta melemahkan nilai kita. Kita tidak boleh mengalahkan kepadanya," kata presiden itu.

Beliau menegaskan lagi bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya akan bersama-sama berusaha menyekat pembiayaan untuk kumpulan pengganas itu, memburu pemimpinnya serta melumpuhkan rangkaian dan saluran bekalan mereka.

"Kami akan mengalahkan mereka akhirnya," kata beliau dan menjelaskan bahawa keamanan dan keharmonian akan mengatasi nilai kebencian dan diskriminasi yang disebarkan kumpulan pengganas.

Obama juga mengingatkan tentang perlunya bagi setiap negara menghantar isyarat bahawa perniagaan penting di dunia tidak terhenti disebabkan serangan jahat kumpulan pengganas.

Katanya, setakat ini, lebih 65 negara, termasuk Malaysia, berganding bahu dalam Gabungan Menentang IS yang diterajui Amerika Syarikat.

Obama berkata sebuah pusat memintas mesej melalui komunikasi akan diwujudkan di Malaysia untuk memerangi penyebaran ideologi IS, sama seperti yang sudah beroperasi di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ini di samping usaha yang dilakukan negara lain seperti Arab Saudi dan Itali dalam melumpuhkan dan menyekat penyebaran pengaruh IS serta pihak yang bersimpati dengannya, kata beliau.

Lihat Komen
ADS