Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama AS-Asia Tenggara hapus pemerdagangan manusia
Diterbitkan:  Nov 22, 2015 8:10 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Amerika Syarikat sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara di Asia Tenggara mengenai mekanisme untuk menghapuskan aktiviti pemerdagangan manusia di rantau ini, kata Presiden Barack Obama.

Menyifatkan pemerdagangan manusia sebagai masalah kritikal, presiden Amerika Syarikat itu berkata Washington memandangkan serius perkara itu dan akan menggunakan agensi-agensi khusus di negara itu untuk mengatasi masalah tersebut.

Beliau juga berkata urusan perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) melibatkan 12 negara termasuk Malaysia turut menyentuh kepentingan memajukan hak asasi manusia.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini sebelum berlepas pulang selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat Ketiga serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-10 di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-27.

Obama, yang berada di ibu negara sejak Jumaat lepas, berkata keperluan mengenai hak asasi manusia yang digariskan dalam TPP adalah untuk memastikan bakal rakan kongsi mengasaskan langkah-langkah bagi mencegah aktiviti berkaitan dengan pemerdagangan manusia.

Sementara itu, Obama optimis bahawa 12 negara yang terbabit dalam rundingan TPP akan memeterai Perjanjian TPP (TPPA) di mana semua negara berkenaan mewakili 40 peratus daripada ekonomi dunia.

Malaysia dan 11 negara lain -- Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam telah berjaya memuktamadkan rundingan TPP, iaitu satu inisiatif Amerika Syarikat, pada 5 Okt 2015.

Bagi Malaysia, kandungan TPPA dan dua kajian impak mengenai perjanjian itu akan dibentangkan di Parlimen pada Januari depan memandangkan ia memerlukan kelulusan Parlimen.

Ini disusuli perbahasan untuk memutuskan sama ada Malaysia harus memeterai perjanjian itu pada pertengahah Januari 2016 sebelum diratifikasikan dalam tempoh dua tahun selepas ditandatangani.

Dalam perkembangan lain, presiden Amerika Syarikat itu berkata mesyuaratnya dengan 17 pemimpin lain pada kedua-kedua sidang kemuncak di sini adalah berhasil.

Obama turut mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Malaysia dan layanan yang diberi oleh tuan rumah dalam menjayakan kesemua mesyuarat yang diadakan di sini.

Berhubung kehadirannya di rantau ini, Obama, yang berada di Manila untuk Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) sebelum datang ke Malaysia, berkata keselamatan dan kemakmuran adalah paling penting kepada rantau Asia Pasifik.

"Sebab itu begitu banyak dasar luar saya tertumpu kepada usaha mempertingkatkan penglibatan di rantau ini dan saya gembira bahawa kami telah mencapai kemajuan secara menyeluruh dalam lawatan ini," katanya.

Obama berkata beliau juga telah menjemput semua pemimpin ASEAN untuk satu perjumpaan di negaranya tahun depan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS