Ulasan Malaysiakini

Malaysia main masak-masak di Frankfurt

ZF Zamir  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN Saya akan mengulang lagi perkara ini seperti-mana pernah saya ulang banyak kali sebelum ini.

Facebook menubuh portal internet.org, satu inisiatif untuk menghubungkan 4.5 bilion manusia yang masih belum mempunyai talian Internet di seluruh dunia. Google dan Tesla dah berperang sejak 10 tahun yang lalu untuk membina kereta tanpa pemandu.

Elon Musk sejak 2002 melalui SpaceX manakala Richard Branson sejak 2004 melalui Virgin Galactic berebut-rebut membina pesawat pengangkutan awam untuk ke angkasa lepas.

Pada 2 November yang lalu, China memperkenalkan Comac C919, pesaing baharu Boeing 737 dan Airbus A320. India sudahpun sampai ke Marikh (September 2014).

Malangnya, reruai Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt yang baru selesai beberapa minggu yang lalu hanya menyajikan nasi impit, sate dan kuah kacang.

Apakah salah menyediakan makanan percuma, makanan tempatan di pesta buku terbesar dan paling berprestij di dunia ini?

Pasti tidak. Ya, yang salah sudah pasti bukan makanan. Ataupun buku masakan. Juga tak salah melancarkan buku masakan di kota buku ini, atau memperkenalkan masakan tradisional kita kepada warga Eropah.

Kalau ada pun hanya satu kesalahan kita – tidak mempunyai impian.

Kita tidak berani menjual buku kita. Kita tidak berani untuk menjual produk sastera kita. Kita tidak berani untuk memperkenalkan sasterawan besar kita kepada rakyat Jerman.

Kita tidak pernah berani untuk berfikir bahawa satu hari nanti bukan sahaja Jerman, tetapi satu dunia akan membaca karya besar tulisan anak-anak kita.

Seruan perang

Jadi kita terduduk diam, dan hadir sebagai rombongan pun asal ada sahaja. Jadi kita buatlah reruai dengan tema – ‘Citarasa Malaysia di Frankfurt’, dengan harapan orang akan datang makan roti jala.

Ini bertentangan sama sekali dengan tema pesta ini – buku. Tapi tidak apa, buku bukan lagi perkara penting. Katalog buku yang kita buat pun, untuk rakan-rakan yang kita suka atau dalam bahasa mudah yang sesuai dengan kerajaan. Yang berbeza dengan kita, bukan lagi tanggungjawab kita.

Lebih sukar lagi, aabila dikritik, kita tak dapat menerimanya lalu menuduh sang pengkritik punya agenda bukan-bukan. Ini kerana industri buku kita ialah industri satu hala, industri membosankan.

Kita tidak punya budaya kritikal di dalam industri ini, lebih-lebih lagi jika agensi dewa dewi seperti DBP serta Majlis Buku Kebangsaan dikritik. Kita anggap, kritikan seperti satu seruan perang.

Kita terlupa bahawa kritikan ini ialah satu tanggungjawab intelektual. Kita terlupa bahawa sikap kita yang tidak mampu menangani kritikan menunjukkan kelemahan.

Bayangkan, kita sudah punya angkasawan yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa, tapi sehingga kini kita belum ada perancangan untuk menghantar lebih ramai angkasawan atau memulakan kerja-kerja awal untuk membina kapal angkasa.

Antiimpian

Malah angkasawan kita pulang dan menyambung kerjanya sebagai doktor, bukan meneruskan karier dalam bidang angkasa. Begitu juga syarikat Proton, kita bermula lebih awal tetapi akhirnya orang ramai lebih berminat membeli Perodua Myvi.

Jadi di Pesta Buku Frankfurt 2015 ini, di manakah salahnya?

Salah yang paling besar selain dari ketiadaan cita-cita atau impian untuk menjadi bangsa kelas pertama nampaknya ialah kerana Indonesia telah menjadi Tetamu Kehormat Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015. Ucapan pembukaan oleh Goenawan Mohamad & Anies Baswedan di dalam Bahasa Melayu (Indonesia). Dimana-mana di kawasan pesta, Bahasa Melayu (sebagai bahasa rasmi Indonesia) kelihatan, di atas lantai, di papan kenyataan, di poster-poster.

Acara-acara pemanas badan dan berkaitan dengan sastera Indonesia diadakan merata tempat. Orang-orang Jerman berbadan besar berhidung mancung berkulit putih ramai kelihatannya boleh bercakap dan berbual di dalam Bahasa Melayu.

Tapak pameran buku Indonesia kelihatan gah dengan begitu banyak buku (dikatakan sehingga 270 buku diterjemah ke bahasa luar daripada 300 buku target asal) dipamerkan tanpa mengira ideologi kiri kanan atau mazhab atas atau bawah. Lebih dari 70 penulis mereka dibawa ke kota dingin ini untuk acara promosi buku masing-masing.

‘17,000 Island of Imagination’, slogan rasmi tetamu kehormat pesta buku ini terpamer di merata tempat seluruh Frankfurt, di dalam pusat beli belah, di tram, di badan bas, di stesen-stesen tren malah di sesetengah restoran.

Satu Jerman diperkenalkan bukan sahaja produk sastera Indonesia, tetapi juga produk budayanya. Pembicara, penulis mahupun panel yang dipanggil berforum berucap di dalam Bahasa Melayu, walaupun disoal di dalam bahasa Jerman.

Identiti dan jati diri Indonesia terserlah di mana-mana.

Melihat kepada keupayaan Indonesia menyerlahkan identiti dan jati diri mereka di hadapan ratusan ribu pedagang industri buku Eropah dan dunia membuatkan kita tercari-cari dan menyoal diri sendiri; apakah jati diri Malaysia? Ke manakah identiti nasional kita tatkala berdepan dunia seperti Eropah ini?

Jiwa kerdil

Jadi, apakah mungkin saya menulis perkara tertentu sahaja, tidak melaporkan secara menyeluruh tentang perkara ini?

Ya, sudah pasti. Kerana itulah kerjanya pengkritik, mengkritik ruang di mana yang dilihatnya memerlukan penambahbaikan. Pengkritik bukanlah pelapor, yang perlu menulis laporan untuk memuaskan nafsu ketua bidangnya.

Lagi pula, saya hadir sebagai pemerhati untuk belajar, mewakili badan penerbitan independen yang saya tubuhkan bersama rakan-rakan.

Prestasi reruai Malaysia bukan saja bermasalah kerana meletakkan makanan sebagai tarikan utama, tetapi juga kerana tidak menjadi ejen yang baik untuk mewakili negara terutamanya dalam bidang sastera dan industri buku kita amnya.

Sasterawan besar negara tidak diperkenalkan, pemain utama industri buku yang menggerakkan industri tidak ditonjolkan, malah karya-karya penulis muda negara juga tidak mendapat perhatian mereka untuk diperkenalkan kepada dunia.

Lebih sedih, rak buku diletakkan di bahagian dalam (dan sangat jauh untuk dicapai). Yang kerap kali diperkatakan dan dibualkan hanyalah mengenai makan-makan dan buku masakan. Apakah kita mahu Eropah dan dunia mengenali kita hanya melalui kerabu tauge?

Ya, sudah pasti tidak salah jika kita mahu dunia mengenali kita melalui kerabu tauge yang sedap itu. Tetapi sudah pasti kita juga mahu dunia mengenali kita kerana penulis kita. Atau melalui sastera kita yang kaya dengan budaya dan pemikiran, bukan?

Tetapi ini sudah pasti mustahil jika kita masih lagi bersikap defensif dan bodoh sombong. Terutama jika penerbit-penerbit universiti kita masih lagi mahu duduk di bawah ketiak majlis buku dan tidak mandiri dan berani untuk membuka reruai sendiri.

Contohnya, dalam sebuah dewan diadakan pameran khas untuk tema pendidikan sahaja. Saya temui banyak penerbit universiti dari negara seperti Jepun dan Korea membuka bukan satu atau dua reruai, tetapi setiap penerbit universiti mempunyai reruai mereka sendiri dan mempamerkan kepada dunia bagaimana pendidikan masa depan yang sangat mengkagumkan.

Bayangkan berapa banyak tulisan ilmiah dan kajian berimpak tinggi berjaya penerbit universiti kita seperti Penerbit UTM atau Penerbit USM perkenalkan kepada 269, 534 (unjuran pesta buku Frankfurt 2014) agen, pedagang serta wakil kerajaan dari 132 negara di dewan seperti ini, berbanding di reruai Malaysia yang kerja utamanya menjamu tetamu dengan sate?

Menurut tinjauan tahun 2014, 55% dari pengunjung pesta buku ini saban tahun mahu menambahbaik hubungan dengan penerbit, 53% mahu menjalankan urusniaga lesen dan hakcipta.

Seramai 50% lagi mahu membina hubungan baru, 38% mahu meningkat kesedaran terhadap produk mereka serta 36% mahukan pelanggan baharu. Industri penerbitan Jerman dijangka menjana pendapat kasar mencecah 35.44 bilion Euro pada tahun 2015 sahaja.

Kita harus bermula dari sekarang untuk mula bermain di dalam pasaran antarabangsa. Sampai bila kita mahu menjadi bangsa pengguna, ke pesta buku antarabangsa semata-mata mahu membeli hakcipta dan lesen orang tanpa ada sedikit pun niat mahu memperkenal dan menjual lesen dan hakcipta penulis tempatan?

Bilakah agaknya buku sasterawan negara kita akan dinilai untuk Hadiah Nobel atau karya penulis muda kita menjadi bahan bacaan anak-anak Jerman?

Bilakah agaknya, kita mahu serius dengan industri buku ini? Bilakah agaknya kita serius mahu memperkenalkan bukan saja budaya tetapi pemikiran kita kepada Eropah dan dunia luar? Catat Goenawan Mohamad pasca pesta buku ini di Facebook beliau;

“Menjadi Tamu Kehormatan di FBF akan mengubah industri buku Indonesia. Para penerbit akan dimotivasi untuk memasarkan karya Indonesia. Ini perubahan sikap 180%. Bertahun-tahun sebelumnya, mereka cuma jadi pembeli.

"Mereka hanya punya pasar dalam negeri yang terbatas. Mereka juga cenderung bergantung kepada satu captive market, pasar yang tetap, terutama untuk buku-buku kurikulum sekolah.

“Sebaliknya, jika pasar berkembang di luar, keberlanjutan industri buku akan punya dasar yang lebih luas; apalagi ketika dunia memasuki zaman buku digital dan jual-beli on-line. Kompetisi, apalagi di arena internasional, lazimnya mendorong pembaharuan-pembaharuan.”

Penulis tempatan, sasterawan negara, penulis-penulis muda kita tidak ada kurangnya langsung berbanding dengan negara jiran, Indonesia. Kita punya penerbit yang berdaya tinggi.

Karya kreatif kita juga bermutu. Yang kita kurang kini ialah keinginan untuk kerja lebih. Yang kita kurang hanyalah keberanian untuk mempunyai impian dan cita-cita.

Di Dubai, manusia sudah boleh terbang dengan menggunakan sayap berenjin dipanggil Jetpack. Tetapi di Malaysia, jangankan berbual mengenai angkasawan mahupun Proton, isu bahasa kita sendiri belum selesai.

Apakah tatkala manusia sudah boleh terbang dengan jetpack, kita masih mahu berbalah dan berbahas isu vape, bilik wuduk VVIP atau betapa bagusnya ibu muda menyusukan anak dengan susu sendiri? Jika begitu, baiklah. Tahun hadapan di Frankfurt, kita main masak-masak lagi!


ZF ZAMIR penulis buku popular ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ serta pendiri badan penerbitan independen, Thukul Cetak. Beliau ke Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt 2015 pada 11-20 Oktober yang lalu.