Sebanyak RM3.3 bilion dibelanjakan untuk subsidi beras oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas berjaya menampung kerugian yang ditanggung oleh Bernas sebagai pembekal beras tunggal di negara ini, tetapi gagal memberi faedah kepada golongan berpendapatan rendah, kata Laporan Ketua Audit Negara 2014, yang dikeluarkan hari ini.
"Pengauditan yang dijalankan antara bulan Mac hingga Julai 2015 mendapati pencapaian salah satu objektif utama program untuk membantu warganegara Malaysia golongan berpendapatan rendah (golongan sasar) bagi mendapatkan beras pada harga yang lebih murah belum dicapai sepenuhnya dan kurang berkesan.
"Ini disebabkan kerana daripada jumlah kuantiti kuota beras yang dikeluarkan khusus untuk golongan sasar, terdapat juga pengguna daripada golongan warganegara asing, pengusaha kedai/gerai makan dan dijadikan makanan binatang peliharaan yang turut menyumbang kepada ketiadaan stok beras subsidi di pasaran runcit," kata laporan itu.
Pada 31 Oktober, kementerian itu mengumumkan bahawa subsidi itu dimansuhkan ekoran ketirisan dalam program tersebut.
Daripada 2008 hingga 2014, peruntukan subsidi diluluskan kerajaan untuk menetapkan sasaran pembekalan beras subsidi ST15% tidak melebihi 40,000 mt sebulan kepada pemborong di Semenanjung Malaysia dan 20,000 mt sebulan kepada pemborong di Sabah dan Sarawak bagi pembekalan beras subsidi S15%.
Laporan itu, bagaimanapun, berkata kuota untuk membekalkan beras masih diberi kepada pemborong yang mempunyai lesen yang telah tamat tempoh, dan bahawa peruntukan khas kuota bulanan diberi tanpa melalui proses pemilihan.
