Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebanyak 81 orang ketua cawangan dari lapan bahagian Umno Johor hari ini mendesak presiden parti, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Ketua Umno cawangan Bandar Pulai Jaya 2, Zairuddin Hamid, beliau tuntutan itu dibuat kerana Najib banyak melakukan kerosakan pada parti.

"Presiden Umno perlu letak jawatan kerana banyak kerosakan yang dilakukan.

"Jangan rosakkan lagi Umno. Lakukanlah pemilihan parti dengan segera. Ia perlu dijalankan dan tak perlu ditangguhkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Sukan Skudai, Johor Bharu, pada malam tadi.

Umno di Johor mempunyai 26 bahagian.

Walaupun pada malam ini hanya lapan bahagian sahaja yang hadir memberi sokongan, namun Zaharuddin berkata beliau percaya majoriti anggota Umno di negeri itu turut bersependapat dengan mereka.

"Saya percaya majoriti bersama dengan kita. Malam ini hanya lapan sahaja yang hadir kerana faktor jarak dan tempat," katanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya merancang untuk mengadakan sebarang gerakan untuk memberi tekanan agar Najib meletakkan jawatan sebagai presiden parti, Zaharuddin berkata ia masih pada peringkat perbincangan.

Bagaimanapun beliau percaya akan lebih banyak cawangan parti itu di seluruh negara yang akan mengadakan sidang media menggesa Najib berundur.

"Perkara itu di peringkat perbincangan. Mula-mula kita kena ada sesuatu yang utuh dan baru bertindakan balas. Insya Allah itu akan dibincangkan," katanya lagi.

Bulan lalu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang mendesak Najib meletak jawatan.

Pada Rabu lalu pula sekumpulan pemimpin akar umbi Umno yang mendakwa mewakili 20 cawangan parti itu di Sepang turut menggesa agar perdana menteri melepaskan jawatan.

Lihat Komen
ADS