Malaysia kerugian RM1 bilion setahun kepada nelayan asing
Malaysia kerugian kira-kira RM1 bilion sumber ikan setahun kerana pencerobohan nelayan asing dan sikap pengusaha bot laut dalam tempatan yang menjual hasil tangkapan mereka ke negara jiran.
Malaysia kerugian kira-kira RM1 bilion sumber ikan setahun kerana pencerobohan nelayan asing dan sikap pengusaha bot laut dalam tempatan yang menjual hasil tangkapan mereka ke negara jiran.
Ikan-ikan tersebut kemudiannya dibeli semula untuk kegunaan negara. Bagaimanapun, kerugian paling banyak adalah akibat pencerobohan nelayan asing dari Thailand, Vietnam, Indonesia, Burma dan beberapa negara lain, berjumlah kira-kira RM700 setahun.
Seorang pegawai Jabatan Perikanan berkata, sepanjang tahun ini sahaja pihak berkuasa merampas kira-kira 200 bot nelayan asing dengan hasil tangkapan bernilai RM600 juta terutama dari Thailand dan Indonesia.
"Kita menjangka rampasan tahun ini bernilai RM700 juta, berbanding RM680 juta tahun lalu," katanya.
Menurutnya, punca utama pencerobohan nelayan asing ialah perairan negara yang begitu luas dan kaya dengan sumber laut terutama ikan, yang merangkumi Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Sulu di perairan Sabah dan Sarawak.
Katanya, penguatkuasaan bersepadu melibatkan Jabatan Perikanan, Polis Marin dan Tentera Laut belum mampu sepenuhnya menghalang pencerobohan kerana perairan terlalu luas.
"Pencerobohan nelayan asing paling sukar dihapuskan apabila mereka menangkap ikan di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu 200 batu nautika dari perairan negara, kerana dengan bot yang besar dan laju, mereka mudah lari ke perairan antarabangsa.
Musim tengkujuh
"Seperkara lagi ialah sesetengah bot nelayan asing dilengkapi senjata api dan ini menimbulkan bahaya kepada penguatkuasa kita," tambahnya.
Beliau berkata, pencerobohan oleh nelayan asing paling banyak berlaku pada musim tengkujuh di perairan Pantai Timur Semenanjung kerana nelayan tempatan ketika tidak turun ke laut kerana ombak kuat dan membahayakan mereka.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan data mengenai pengusaha bot laut dalam tempatan yang mendaratkan hasil tangkapan mereka di negara jiran terutama Thailand tetapi menyatakan `agak besar' juga.
Menurutnya, ia berlaku pada negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand terutama Kelantan, Kedah dan Perlis.
Tetapi kata beliau lagi, sejak kerajaan memperkenalkan skim perkongsian di antara nelayan Malaysia dan Thailand masalah tersebut mula dapat diatasi.
Dalam skim ini bot laut dalam perlu mendaratkan hasil tangkapan mereka di mana-mana pelabuhan atau pusat pendaratan ikan terdekat dan tidak dibenarkan sama sekali memunggahkan hasil tangkapan mereka di negraa lain.
"Setakat ini Jabatan Perikanan telah mengeluarkan sebanyak 500 lesen seumpama itu kepada pengusaha bot tempatan dengan membenarkan mereka mengambil pekerja Thai sebagai awak-awak," katanya lagi.
Kata beliau, jumlah sudah mencukupi dan pihak berkuasa ikan tidak bercadang mengeluarkannya lagi bagi mengelakkan penyelewengan oleh pengusaha yang mahu mencari keuntungan cepat dengan mendaratkan hasil tangkapan mereka ke Thailand.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.