Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News

Semua penerbitan termasuk akhbar atau majalah tidak berkala memerlukan permit daripada Kementerian Dalam Negeri.

Seorang pegawai kanan kementerian berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada penerbit-penerbit hampir 18 bulan lalu dan tidak berbangkit isu mereka tidak mengetahui peraturan tersebut.

"Semua penerbitan perlu ada permit di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak," kata Ketua Penguatkuasaan 1 Unit Kawalan Penerbitan kementerian itu, Md Jani Jantan kepada malaysiakini , apabila diminta mengesahkan serbuan dan dakwaan terhadap beberapa penulis dan penerbit media bebas akhir-akhir ini.

Pada 10 November lalu, kementerian itu membuat serbuan di Penerbitan Pemuda, Gombak dan merampas lebih 600 naskhah Al-Islah yang dikeluarkan oleh Ahmad Lutfi Othman.

Jumaat lalu pula, serbuan dilakukan di sebuah syarikat percetakan di Bandar Baru Sungai Buloh yang dipercayai mengeluarkan majalah tidak berkala pimpinan seorang wartawan wanita Suria Janib.

Pegawai-pegawai yang menyerbu Syarikat Herald Printers itu bagaimanapun tidak menjumpai majalah berkenaan di kilang percetakan itu.

Kedua-dua serbuan itu di Selangor. Pada Mei lalu, syarikat Ahmad Lutfi dan pejabat Suria juga diserbu kementerian berkenaan.

Penerbitan Pemuda akan didakwa di Mahkamah Magistret Kuala Lumpur pada Rabu depan atas tuduhan menerbitkan bahan bacaan tanpa permit KDN.

Md Jani menjelaskan peguam kementerian itu "telah mengkaji dan menakrif semula" peruntukan mengeluarkan permit di bawah akta itu, dan oleh itu setiap penerbitan di negara ini wajar memohon kebenaran daripada kementerian tersebut.

Beliau menegaskan serbuan terbaru itu dilakukan kerana kedua-dua penerbitan tidak berkala itu tidak mempunyai permit serta tidak mempunyai sebarang rekod permohonan permit sebelum ini.

Tidak guna 'bertekak'

Sementara itu bekas pengarang majalah Detik dan Al-Wasilah , Lutfi menjelaskan KDN boleh membuat sebarang tafsiran berdasar undang-undang yang sedia ada.

"Penerbitan yang sah diharamkan (dua majalahnya itu). Tetapi apabila (saya) memohon permit, KDN tolak. Apa lagi pilihan yang saya ada?" kata Lutfi kesal.

Tambahnya, tidak perlu "bertekak (berbeza pendapat) dengan KDN" kerana akta itu sendiri sendiri telah sedia "menzalimi" penerbit.

Lutfi menegaskan reformasi undang-undang perlu diwujudkan supaya peraturan yang adil dapat dinikmati oleh semua penerbit, sambil menambah penerbit yang tidak berpengalaman dan media yang tidak memupuk moral yang tinggi lebih mudah memperolehi permit kementerian.

Menurutnya lagi, beliau pernah memohon permit sebanyak empat kali tetapi semuanya ditolak tanpa sebarang alasan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS