Tarikh telah ditetapkan untuk SPRM rakam kenyataan PM

   

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak lama lagi berhubung siasatan berkaitan sumbangan politik RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd yang didakwa didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Laporan sebelum ini mendakwa bahawa suruhanjaya itu akan merakam kenyataan perdana menteri hari ini.

Bagaimanapun, sumber-sumber dari SPRM dan Jabatan Perdana Menteri memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan pagi ini diadakan untuk menetapkan satu tarikh untuk tujuan itu.

"Kami telah menetapkan tarikh untuk tujuan ini dan ia akan diadakan tidak lama lagi," kata satu sumber yang tidak mahu namanya disebut.

Sebelum ini, SPRM telah merakam kenyataan dari ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dan pengarah SRC International Sdn Bhd, Datuk Mohd Suboh Md Yasin.

Isu itu meletus pada bulan Julai apabila Wall Street Journal dan laman web Sarawak Report mendedahkan transaksi tersebut berdasarkan dokumen yang bocor.

Najib dan penyokongnya menggambarkan RM2.6 bilion, yang dipindahkan sebelum pilihan raya umum 2013, sebagai derma dari sumber Timur Tengah. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan SPRM dalam satu kenyataan berkata ia mengadakan pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri bagi menentukan tarikh mengambil keterangan dari perdana menteri.

SPRM berkata pertemuan itu diadakan berhubung isu SRC International dan dana RM2.6 bilion.

"SPRM akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," kata SPRM dalam satu kenyataan itu hari ini.

Pada 12 November lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri berhubung perkara itu, dan Najib bersetuju untuk kenyataan beliau dirakamkan.

Ketika itu beliau berkata SPRM menunggu tarikh untuk menemu bual Najib berhubung isu yang berkaitan dengan siasatan itu.

Najib pada hari yang sama, berkata beliau bersedia untuk memberi kenyataan kepada SPRM.

SRC International adalah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In