Bekas Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam berkata Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai perdana menteri dan presiden Umno, tidak menyekatnya daripada berucap di perhimpunan agung (AGM) Umno ketika beliau bertegang urat dengan Dr Mahathir pada tahun 1986.
Musa berkata demikian sebagai merujuk kepada percubaan untuk menyekat Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada berucap di AGM Umno minggu depan.
Beliau dipetik dalam satu temubual dengan Malaysian Insider sebagai berkata adalah sesuatu yang pelik apabila pemimpin nombor dua Umno tidak dibenarkan merasmikan mesyuarat sayap, dan menambah beliau tidak berdepan sekatan sedemikian walaupun bertegang urat dengan Dr Mahathir sewaktu menjadi timbalan presiden.
"Ia tidak pernah didengar. Walaupun terdapat pertarungan antara dua orang utama, saya rasmikan majlis itu.
"Dan semasa perhimpunan agung, saya duduk sebagai timbalan presiden tanpa sesiapa membantah atau cuba menghalau saya keluar," Musa dipetik sebagai berkata dalam temubual tersebut.
Pada ketika itu, kata Musa, beliau dibenarkan berdebat dan menjadi orang kedua terakhir menyampaikan ucapan penggulungan, mengikut tradisi Umno.
Musa pada ketika itu meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri kerana tidak sebulu dengan Dr Mahathir tapi kekal sebagai timbalan presiden Umno.
Julai lalu, Muhyiddin digugurkan daripada kabinet bersama dengan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, ekoran pendirian kritikal mereka terhadap pengendalian isu 1MDB oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
