P'raya S'wak: PKR umum 15 calon utama kalangan profesional
PKR mengumumkan kumpulan pertama 15 calon keutamaannya yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak akan datang.
Naib Presidennya Dr A Xavier Jayakumar berkata calon-calon itu dipilih daripada sejumlah 45 orang calon tentatif.
Beliau berkata semua calon ialah dari kalangan profesional, berkelayakan, telah bergerak di peringkat akar umbi dan membuktikan kemampuan mereka.
Mereka ialah Nurhanim Hanna Dato Mokhsen yang bakal bertanding di Tupong, See Chee How (Batu Lintang), Voon Shiak Ni (Batu Kitang), Abg Zulkifli Abg Engkeh (Lingga), Norina Umoi Utot (Simanggang), Yakub Daud (Saribas), Vernon Aji Kedit (Layar), Ali Biju (Kerian), George Chen (Machan), Abdul Raafidin Majid (Nangka), Abun Sui Angit (Murum), Elia Bit (Marudi), Ronald Engan (Telang Usan), Paul Baya (Mulu) dan Baru Bian (Ba'Kelalan).
"Kami akan mengumumkan kumpulan seterusnya calon dalam masa terdekat," kata beliau pada sidang media semasa majlis makan malam dan mesyuarat PKR di Kuching.
PBB calon muka baru
Sementara itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bertanding 40 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya kecil Sarawak.
Selain itu, PBB, selaku parti tulang belakang kerajaan BN di Sarawak, mengesahkan akan menampilkan 10 muka baru termasuk lima bagi 11 kerusi baru DUN.
Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem berkata calon muka baru itu adalah bagi menggantikan penyandang kerusi DUN yang telah menyatakan hasrat untuk bersara.
Mengenai 11 kerusi DUN baru, katanya walaupun PBB boleh mendapat lebih lima kerusi tersebut berdasarkan bilangan besar anggota parti serta sokongan namun telah memutuskan untuk menagihkan kerusi tambahan itu kepada parti komponen BN yang lain.
Adenan, yang juga ketua menteri merangkap pengerusi BN Sarawak, berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB semalam.
Buat masa sekarang, empat parti komponen BN Sarawak ialah PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).
Dalam PRN lepas pada April 2011, PBB diagihkan 35 kerusi, SUPP (19), PRS (9) dan SPDP (8).
Susulan persempadanan semula bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri bagi Sarawak, menyaksikan jumlah 82 kerusi DUN berbanding 71 sebelum ini.
Bahagian pilihan raya yang baru itu adalah N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Bukit Semuja, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Bukit Goram, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Mulu.
Adenan membayangkan PRN sudah semakin hampir apabila dengan jelas menyebut persidangan DUN mulai esok merupakan sidang terakhir sebelum pilihan raya negeri itu.
Apabila ditanya mengenai spekulasi bahawa PRN mungkin diadakan pada Mac depan, katanya: "Anda boleh memilih untuk mempercayai khabar angin ini atau sebaliknya."
Menurutnya penggal bagi DUN Sarawak akan berakhir secara automatik pada 20 Jun tahun depan dan pilihan raya negeri perlu diadakan sebelum tarikh itu.
Mengenai krisis parti seripihan dan mesra BN, iaitu SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) serta SPDP dengan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Adenan berkata isu tersebut akan akhirnya diselesaikan sebelum hari pencalonan.
Beliau turut menyatakan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB itu membincangkan persediaan bagi menghadapi PRN akan datang serta melakarkan carta tugasan untuk beberapa pemimpin kanan parti.
"Kami menubuhkan 12 jawatankuasa bagi mengurus kempen pilihan raya untuk PBB dan ia diketuai oleh Tan Sri Alfred Jabu, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan beberapa anggota kanan parti," katanya.
Adenan juga berkata mesyuarat pramajlis BN yang dipengerusikannya pagi ini turut membincangkan usul-usul yang cuba diperkenalkan oleh pembangkang pada persidangan DUN kali ini.
"Kami mempunyai beberapa kejutan untuk pembangkang yang mereka tidak mungkin menjangka. Persidangan kali ini akan hanya membahaskan rang undang-undang perbekalan 2016," katanya.
Persempadan semula
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah awal tahun depan.
Menyatakan demikian, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini akan diikuti dengan persempadanan semula di negeri-negeri di Semenanjung.
Persempadanan semula di Sarawak telah selesai.
Berikutan itu, Dewan Rakyat pada 2 Disember lepas meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri bagi negeri itu yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketika ini, Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN.
"Kita belajar banyak daripada pengalaman membuat persempadanan semula Sarawak dan kita akan menggunakan pengalaman itu untuk Sabah dan Semenanjung.
"Sasaran kita adalah untuk menggunakan persempadanan semula ini pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Abdul Aziz bercakap pada sidang media selepas program Singgah Mesra SPR di perkampungan Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang dekat Port Dickson semalam.
Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.
Abdul Aziz berkata persempadanan semula ini adalah satu proses yang rumit kerana terdapat banyak 'gangguan' oleh pihak-pihak tertentu sehingga SPR dibawa ke mahkamah.
Sementara itu, katanya pihaknya memperolehi enam buah kenderaan karavan bernilai RM1.2 juta pada tahun ini untuk memperluaskan lagi perkhidmatan pendaftaran pengundi khususnya di kawasan luar bandar dan pendalaman.
"Dengan adanya kenderaan karavan ini akan memudahkan pegawai kita untuk melaksanakan program 'outreach', pemantauan operasi dan naziran bagi urusan pendaftaran pemilih.
Program Singgah Mesra SPR yang pertama kali ini diadakan merupakan penjenamaan semula program berbentuk 'outreach' dan turun padang SPR yang menggunakan konsep Strategi Lautan Biru.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.