Most Read
Most Commented
Read more like this

Muslimat PAS bergiat lebih cergas selepas penyertaan golongan profesional dalam parti itu sejak beberapa tahun kebelakangan, jelas seorang pemimpin wanita Terengganu.

"Cuma sekarang (selepas kemasukan profesional), baru ada cetusan idea," kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat Terengganu Safinah Jusoh kepada malaysiakini , sambil menambah penglibatan Muslimat kini "agak ketara".

Beliau, yang dilantik anggota Dewan Negara bagi mewakili negeri itu selepas pilihanraya umum 1999, berkata PAS sentiasa memberikan ruang untuk wanita memainkan peranan, misalnya dalam Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) dan juga anggota Majlis Daerah.

JSR adalah kumpulan wakil penduduk dan orang ramai yang ditubuhkan kerajaan negeri selepas kemenangan PAS di negeri itu bagi menggantikan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) yang ditubuhkan Umno.

Safinah menolak dakwaan bahawa Muslimat tidak bersikap terbuka dan menegaskan pergerakan wanita itu "tidak mengasingkan diri dan hendak bergaul dengan semua orang."

"(Kita) tidak ada masalah bekerjasama dengan masyarakat," katanya, yang pernah bertugas sebagai guru di sebuah sekolah swasta terkenal negeri itu, Institut Berakan.

Ahli seumur hidup PAS itu menambah, Muslimat mempunyai program dengan wanita kaum bukan Islam di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) walau masyarakat Cina dan India hanya lima peratus daripada kira-kira 1 penduduk negeri.

Media 'putar' laporan

Beliau juga berkata Muslimat juga menyertai pelbagai program di luar Terengganu.

Apabila ditanya sebab-sebab Muslimat "segan" memberikan ulasan kepada media, Safinah berkata "mereka hendak bekerja, dan tidak suka menonjol."

Ditemui di rumah papannya di Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu, Safinah berkata Muslimat "tidak yakin" dengan liputan media.

"Mereka (wartawan) putar (cerita), lebih baik (Muslimat) diam," katanya.

Beliau menyebutkan contoh laporan isu 13 buah sekolah yang gagal dibina di Terengganu baru-baru ini. Bukan kerana masalah kelulusan tanah oleh kerajaan negeri seperti didakwa pemimpin kerajaan pusat tetapi akibat pemilik tanah masih belum menerima pampasan, tambahnya.

Katanya, beliau lebih suka membaca berita-berita Harakahdaily.com dan Warta Darul Iman yang diterbitkan dua kali sebulan oleh kerajaan negeri.

Muslimat menceburi politik atas rasa tanggungjawab dan bukan kerana mengikut suami, katanya.

"Suami sentiasa memberi sokongan. Kalau tidak ada sokongan, bagaimana isteri boleh bergerak (meneruskan perjuangan parti)," katanya, sambil menjelaskan Muslimat negeri itu majoriti terdiri daripada suri rumah.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS