SPRM rangka kertas pemeriksaan berkaitan Bauksit
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang merangka kertas pemeriksaan bagi memantapkan sistem dan prosedur berkaitan bauksit ekoran terdapat kelemahan dari segi penguatkuasaan dan hasil diperoleh kerajaan negeri.
Pengarah SPRM Pahang Datuk Zainul Darus, berkata dua kertas pemeriksaan berkenaan dijangka siap penghujung bulan ini sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri.
Katanya, kertas pemeriksaan itu dirangka selepas mendapati wujud kelonggaran dari segi penguatkuasaan dan kutipan hasil bauksit yang mendedahkan kepada aktiviti rasuah kerana bauksit tidak tersenarai dalam akta berkaitan hasil bumi.
"Ini kerana dalam akta terbabit tiada istilah bauksit sebaliknya hanya disebut laterit merah yang bermaksud tanah merah tidak bernilai, kita kini dalam proses untuk menyiapkan kertas pemeriksaan supaya hasilnya dapat memberi keuntungan kepada kerajaan.
"Begitu juga dari segi penguatkuasaan, bila ada (bauksit) dimasukkan dalam akta berkaitan tindakan susulan dapat diambil pihak berkuasa tempatan, sekarang ini hanya boleh ambil tindakan dari segi muatan dan debu bauksit iaitu di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS).
"Jabatan Geosains tidak boleh ambil tindakan termasuk dari segi permit, levi dan cukai," katanya kepada pemberita selepas Program Merakyatkan SPRM bersempena Hari AntiRasuah Sedunia di Kampung Cempaka dekat Kuantan hari ini.
Program sehari itu diadakan dengan kerjasama Kelab Media Pahang dan penduduk Kampung Cempaka.
Zainul berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung dakwaan rasuah berkaitan kegiatan perlombongan bauksit di sini daripada penduduk setempat dan ia diserahkan kepada Ibu Pejabat SPRM untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Dalam pada itu, katanya Program Merakyatkan SPRM adalah satu daripada strategi dilaksanakan pihaknya bagi mendekati masyarakat supaya mereka dapat bersama-sama membendung jenayah rasuah.
"Kami mendapat sokongan padu daripada masyarakat yang turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat, SPRM berharap untuk mendapat kerjasama seperti ini pada masa depan," katanya.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.