Ketika nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin di sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini semakin jelas, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempat berkias mengenai bekas timbalan perdana menteri itu.
Dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno memberitahu parti itu bolen diibaratkan seperti rakit yang terbina daripada himpunan batang kayu terikat.
Pada masa tertentu, katanya, ada antara tali yang mengikat kayu itu terputus namun rakit berkenaan mesti dipertahankan.
"Tali ikatan jangan terputus agar kayu yang menjadi rakit itu tidak dihanyutkan air. Maka eloklah tali itu diikat semula.
"Biarpun ada tali putus, biarlah tali yang putus itu dihanyut air deras tapi rakit tidak tenggelam," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datoh itu, Umno perlu berada dalam ikatan kebersamaan kerana rakit menjadi pelampung yang membawa ahli di atasnya supaya tidak tenggelam.
"Sederas mana air, setinggi mana jurang, kita harap penumpang tak tercampak dari rakit dan rakit tidak tenggelam," katanya.
Ditanya mengenai mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno malam ini, Ahmad Zahid yang dilantik Datuk Seri Najib Razak menggantikan Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri itu berkata, lazimnya agenda yang dibincangkan adalah persiapan PAU.
Dengar suara akar umbi
Selain itu, kata Ahmad Zahid, adalah taklimat seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyelaraskan jurucakap bagi setiap wakil negeri dalam PAU.
"Selain itu saya tak nampak agenda lain," katanya.
Sebelum ini Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu, keputusan sama ada Muhyiddin akan berpeluang membuat ucapan penggulungan semasa penutup PAU akan diketahui selepas mesyuarat malam ini.
Bagaimanapun beliau menegaskan ucapan penggulungan pada hari akhir perhimpunan agung Umno memadai hanya dibuat oleh Najib.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata nasib Muhyiddin kini terserah kepada kebijaksanaan Najib.
Kata Ahmad Zahid, kertas siasatan berhubung tindak-tanduk Muhyiddin sudah disiapkan dan kandungannya diteliti untuk memastikan sama ada bekas Menteri Besar Johor itu terbabit dalam salah laku melanggar perlembagaan parti.
"Bagaimanapun saya tak fikir ianya (tindakan) perlu digopoh-gapahkan. Apa yang penting adakah kebijaksanaan presiden.
"Walaupun begitu kami mendengar suara akar umbi dan suara perwakilan. Kita serahkan keputusan kepada presiden.
"Kami tak mahu tindakan diambil tergesa-gesa," katanya.
