Khairy: Tegur dan tanya bukan derhaka
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa tindakan menegur dan bertanya dalam tata etika parti bukanlah bermaksud menderhaka.
Justeru, menteri beliau dan sukan itu menegaskan Pemuda akan terus bersuara tanpa melampaui batasan dalam situasi ‘diluah mati emak, ditelan mati bapa’.
“Tegur dan bertanya bukan menderhaka kerana cara ini lebih mulia daripada pendekatan yang lain – sama ada telunjuk mencucuk, menjadi api dalam sekam yang akhirnya memusnahkan parti, mahupun yang menyokong membuta tuli sehingga membawa rebahnya institusi,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa Pemuda Umno akan terus bersuara untuk rakyat dan tiada sesiapa dapat menutup mulut mereka.
“Yang hitam akan tetap hitam, yang putih akan tetap putih. Kebenaran akan sentiasa menjadi paksi.
“Itulah peranan Pemuda – menzahirkan nurani dan suara hati rakyat dari dalam parti," kata Khairy
Beliau berkata demikian dalam mesyuarat perasmian sayap Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelah kaki dalam parti, hati lain
Khairy juga berkata pihaknya tetap mengharapkan usaha meleraikan kemelut syarikat syarat hutang 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion tidak akan terhenti selagi penyelesaian tidak dicapai.
“Jelas, sudah ada perkembangan positif dalam meleraikan kemelut.
“Namun Pemuda berharap agar usaha-usaha ini tidak terhenti, sebaliknya diteruskan sehingga mencapai noktah penyelesaian yang hakiki,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata melalui teguran, ia dapat mengelakkan Pemuda daripada menjadi pak turut dalam parti.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Rembau itu menegaskan Pemuda Umno akan terus berganding bahu mendukung kebenaran selain komited "memperbetulkan apa jua salah faham yang membelit" parti itu.
“Lebih baik suara begini datang daripada Pemuda yang menghormati parti, bukannya asakan keras dari pihak-pihak yang tak ubah seperti kelip-kelip dalam baju, musuh dalam selimut.
"Sebelah kakinya mungkin masih di dalam parti tetapi hatinya seolah mahu meruntuhkan institusi, untuk kepentingan diri,” jelasnya.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
