Penderma dana RM2.6b: Seorang atau lebih?
Kekeliruan dalam isu derma bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Datuk Seri Najib Razak terus berpanjangan apabila kini timbul persoalan mengenai jumlah penyumbang yang didakwa dari Timur Tengah itu.
Dalam temubual dengan akhbar The Star yang diterbitkan hari ini, Presiden Umno itu sekali lagi mendakwa dana berkenaan diterima daripada lebih seorang penyumbang yang mempunyai hubungan peribadi dengannya.
"Ia bukan berdasarkan kepada institusi atau parti. Ia peribadi, sebab itu mereka bertegas wang berkenaan perlu dimasukkan secara peribadi kepada saya," katanya.
Menurut perdana menteri ia adalah keinginan penderma terbabit dan beliau tidak berhasrat menyinggung perasaan mereka.
"Ia masuk ke akaun persendirian saya, tetapi ia tidak bermakna saya menggunakannya untuk perbelanjaan harian," katanya.
Ketika Najib dipetik - dalam beberapa temubual sebelum ini - merujuk penderma itu dengan istilah tunggal dan jamak, pihak berkuasa secara konsisten menyatakan sumber dari Timur Tengah itu adalah seorang individu yang belum didedahkan.
Dalam kenyataan media dikeluarkan pada 3 dan 5 Ogos lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan dana berkenaan adalah derma politik dan butiran penderma terbabit sudah diperolehi.
Pada Isnin akhbar New Straits Times juga melaporkan SPRM menghantar sepasukan pegawainya ke Timur Tengah untuk bertemu dengan seorang penderma.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.