PAU 2015: Antara panas, dingin di Dewan Merdeka

Anne Muhammad dan Shakira Buang        

Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin hangat dengan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin hingga mengundang sedikit kekecohan.

Antara keghairahan media merakam detik itu dengan keinginan penyokong Muhyiddin meraikan kedatangan timbalan presiden mereka.

Namun, suasana bertukar seakan antiklimaks di hari perasmian dan ucapan dasar presiden parti Datuk Seri Najib Razak semalam.

Ketibaan Muhyiddin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak diraikan seperti sebelum ini.

Tiada teriakan menyambut ketibaan Muhyiddin pada jam 8.30 pagi dan Mohd Shafie beberapa minit kemudian,

Apa yang ada hanyalah sekumpulan wartawan yang meminta untuk berselfie bersama beliau.

Ahli Umno dan penyokong? Mereka kelihatan diam dan dingin.

Bagaimanapun situasi tersebut berubah menjadi hangat apabila kelibat Najib tiba di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra. Presiden Umno itu dengan disambut dengan teriakan "Hidup Najib" oleh beberapa perwakilan.

Ketika beberapa kelaziman parti diubah dalam atur cara perjalanan perhimpunan, tradisi timbalan presiden mengiringi presiden memerika kawalan kehormat tetap berjalan.

Tayang ucapan lalu

Maka seperti tahun lalu Muhyiddin - yang kini berseteru dengan kepimpinan parti - mengiringi Najib memeriksa kawalan kehormat.

Seorang lagi pengkritik tegar Najib, Tun Dr Mahathir Mohamad, tiba lebih awal dan memasuki Dewan Tun Razak.

Selepas mesyuarat tahunan wanita, pemuda dan puteri selesai dijalankan kelmarin, tumpuan penuh diberikan kepada ucapan dasar presiden.

Ia bermula kira-kira jam 10 pagi. Ucapan yang bermula tenang kemudian menjadi hangat apabila Najib menyentuh soal kepimpinan ketika beliau diasak hampir dari segenap penjuru.

Desakan dihadapi Najib bukan sembarangan. Dia didesak oleh sebahagian daripada ahli partinya sendiri untuk meletak jawatan.

Di luar dewan utama, ahli Umno - kebanyakannya wanita - memenuhi ruang lapang dan menyaksikan dengan penuh minat tayangan ucapan di skrin televisyen.

Namun ia bukan siaran biasa.

Tidak seperti selalu, skrin televisyen tidak menayangkan secara langsung perkembangan di dalam dewan, sebaliknya ahli Umno dibiarkan menonton rakaman ucapan masa lalu.

Antaranya, ucapan penggulungan Najib dalam perhimpunan 2014.

Tuntut pemimpin digugur

Namun, apabila Najib berada di pentas menyampaikan ucapan dasar, skrin televisyen kemudian menayangkannya secara langsung.

Ahli Umno di luar dewan dapatlah melihat ucapan tersebut melalui skrin televisyen yang disediakan di situ. Sesekali terdengar laungan "Hidup Najib!" ketika pemimpin tertinggi parti itu menjelaskan isu-isu semasa.

Seperti biasa, rata-rata ahli Umno menyokong penuh ucapan dasar tersebut dan bangkit bersuara apabila isu Dr Mahathir dan Muhyiddin diulas Najib.

Ada juga dikalangan mereka yang bersuara dengan menyatakan mahu tindakan diambil ke atas kedua-dua tokoh itu.

Ia terjelma juga ketika sesi perbahasan. Sekurang-kurangnya tiga pembahas - dari Kelantan, Johor dan Pulau Pinang - lantang menegur timbalan presiden mereka sendiri.

Antara lain mereka meminta Muhyiddin kembali bersatu padu dengan Najib dan menghentikan persengketaan di dalam parti.

Ada juga yang memberi kata dua supaya bekas timbalan perdana menteri itu digugurkan daripada jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno.

Setakat ini keinginan mereka melihat Muhyiddin tersungkur belum terjadi, namun perkembangan yang berlaku pada Umno masih belum berakhir.

Perbahasan bersambung hari ini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In