Sebanyak 156 mat rempit termasuk 12 pelajar sekolah yang terlibat dalam perlumbaan haram ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan di depan tapak Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong, di Geprge Town awal hari ini.
Mereka yang ditahan termasuk enam remaja perempuan itu, bukan sahaja berlumba kira-kira lima kilometer iaitu antara Jalan Sultan Azlan Shah, Batu Uban hingga bulatan di Bukit Jambul, malah turut melakukan beberapa aksi berbahaya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, sebanyak 40 pegawai dan anggota polis melancarkan operasi bermula pukul 12 tengah malam dan tamat enam jam kemudian.
"Operasi dijalankan selepas polis mengenal pasti beberapa lokasi lumba haram yang sering menjadi tumpuan mat rempit di sekitar daerah Timur Laut," katanya di George Town hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan, sebanyak 63 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya menunggang tanpa lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai motosikal, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaraan tidak mengikut spesifikasi.
Mior Faridalathrash berkata dalam operasi itu, polis turut menyita tujuh buah motosikal kerana cukai jalan tamat tempoh dan mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran.
"Semasa operasi itu, terdapat beberapa mat rempit yang bertindak agresif dengan cuba mengangkat motosikal mereka untuk melepasi pembahagi jalan yang terdapat di tengah jalan, bagaimanapun gagal kerana polis sempat menahan mereka," katanya.
Katanya, semua mereka yang ditahan berusia 14 hingga 30 tahun itu dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.
"Hasil siasatan kami mendapati aktiviti samseng jalanan ini dijalankan tidak kira waktu dan jika sebelum ini, sering dilakukan pada hujung minggu, namun kini trend berubah dan mereka turut berlumba pada hari biasa bagi mengelak dikesan polis," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menonton aksi mat rempit kerana selain tidak berfaedah ia boleh membahayakan keselamatan.
- Bernama
