Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas penggerudi minyak peroleh ganti rugi am RM300,000
Diterbitkan:  Dec 11, 2015 4:28 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan kerajaan dan empat pihak lain membayar ganti rugi am sebanyak RM300,000 kepada seorang bekas penggerudi minyak berhubung penahanannya secara salah selama 355 hari kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Hakim Datuk Rosnaini Saub membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan Ong San Huei selaku plaintif terhadap Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Dalam Negeri, Penguasa Pusat Pemulihan Akhlak, Muar Johor, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM30,000 kepada plaintif.

Dalam penghakimannya, Rosnaini berkata Perlanjutan Perintah Tahanan Kedua di bawah Seksyen 11(A)(1)(a)(aa) Akta Dadah Berbahaya (ADB) (Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985) yang dikenakan terhadap plaintif adalah salah dan dilakukan tidak mengikut undang-undang.

Hakim itu berkata plaintif sepatutnya ditahan di bawah Seksyen 11A(4) ADB (LLPK) dan bukannya mengikut Seksyen 11(A)(1)(a)(aa) akta berkenaan.

Rosnaini berkata plaintif juga telah ditahan secara salah untuk selama 355 hari bermula 3 November 2008 sehingga tarikh beliau dibebaskan selepas permohonan writ habeas corpus yang dikemukakan plaintif dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Oktober 2009.

Ong, 40-an, memfailkan saman terhadap kesemua defendan selepas mendakwa Perlanjutan Perintah Tahanan kedua bertarikh 4 Nov 2008 di bawah Seksyen 11(A)(1)(a)(aa) ADB (LLPK) 1985 yang dikeluarkan defendan kedua iaitu Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah cacat, tidak sah dan salah dari segi undang-undang.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Ong mendakwa dia ditahan dan disiasat di atas kesalahan mengedar dadah di bawah Seksyen 6(1) ADB (LLPK) 1985 selama dua tahun di Pusat Pemulihan Akhlak Muar bermula 5 November 2004 hingga 5 November 2006.

Ong mendakwa beliau kemudiannya dikenakan Perlanjutan Perintah Tahanan di bawah Seksyen 11A (1)(a)(aa) ADB (LLPK) 1985 selama dua tahun lagi di pusat pemulihan sama bermula 5 November 2006 hingga 4 November 2008.

Katanya, selesai tempoh itu beliau dikenakan Perlanjutan Perintah Tahanan Kedua selama 355 hari bermula 3 November 2008 dan berakhir 23 Oktober 2009 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkan Ong dan mengeluarkan arahan pembebasannya dengan serta merta.

Mahkamah Tinggi Shah Alam dalam keputusannya mendapati Perlanjutan Perintah Tahanan Kedua bertarikh 4 Nov 2008 di bawah Seksyen 11A (1)(a)(aa) ADB (LLPK)1985 adalah tidak teratur, tidak menurut undang-undang, tidak sah dan terbatal kerana terdapat perlanggaran dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa telah mengalami penderitaan, tekanan jiwa, dan trauma akibat penahanan secara salah itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS