Peluk tak cukup, 'cium mulut' sama
Kenapa berpeluk saja? Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sepatutnya "cium mulut", kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara bergurau hari ini.
'Cadangan' timbalan perdana menteri itu dibuat sebagai reaksinya kepada kata dua diberi perwakilan Pulau Pinang berhubung konflik melanda kedua-dua pemimpin tertinggi Umno kini.
Menurut Ahmad Zahid, apa yang lebih penting bukanlah tindakan yang dilihat secara fizikal sebaliknya keikhlasan hati.
"Kenapa berpeluk saja? Cium mulut lebih baik," katanya disambut ketawa hadirin.
"Bagi saya, tak perlu ada kerelapaksaan dalam hal itu.
"Apa yang penting ialah tindakan-tindakan (bercanggah dengan parti) tidak lagi dilakukan (oleh Muhyiddin) sebagai tanda bahawa kebersamaan wujud dalam kepimpinan utama parti," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir - dan bergurau - dalam sidang media itu ialah seorang lagi naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Pada hari pertama perbahasan semalam, wakil Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir mengingatkan supaya presiden dan timbalan presiden parti perlu kembali bersatu dan menghentikan persengketaan.
Musa berkata pimpinan tertinggi Umno mesti 'berpelukan' (sebagai tanda melupakan persengketaan), atau mereka akan digantikan oleh perwakilan (dalam pemilihan akan datang).
Istilah "cium mulut" adalah slanga semasa - terutama di kalangan generasi muda - untuk menggambarkan suasana keakraban kental.
Sementara itu ditanya mengenai ruang untuk memaafkan pemimpin yang melawan arus, Hishammuddin berkata, kemungkinan itu sentiasa ada namun ia bergantung kepada individu terbabit.
Ditanya sama ada siasatan akan tetap dijalankan jika pihak yang berkenaan memohon maaf, Hishammuddin menegaskan, ia mesti diteruskan.
"Kalau didapati oleh pihak yg bertanggungjawab menyiasat bahawa ia perlu disiasat, maka ia akan disiasat.
"Ini tidak ada kena mengena dengan minta maaf atau tidak - kalau pun ada permintaan maaf," katanya.
Semalam Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan Lembaga Disiplin Umno memulakan siasatan terhadap ucapan Muhyiddin pada malam Isnin lalu.
Dalam majlis berkenaan, Muhyiddin antara lain berkata, Najib perlu bercuti sepanjang siasatan terhadap 1MDB berjalan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
