PKR menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri mengapa Islam dinyatakan sebagai agama rasmi dalam laman web negeri, walaupun sebentar sahaja.
Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Aji Kedit berkata Islam dinyatakan masih dikesan sebagai agama rasmi pada 10 Disember tetapi dipinda keesokan harinya (semalam).
“Perlembagaan negeri Sarawak adalah jelas - Sarawak tidak mempunyai agama rasmi, tetapi laman web negeri (sebelum ini) menyatakan sebaliknya,” katanya.
Vernon berkata walaupun pemimpin pembangkang Baru Bian sudah memaklumkan perkara itu kepada kerajaan negeri pada Julai lalu, tiada tindakan diambil, sehinggalah media melaporkan dan isu itu tersebar meluas di Internet.
“Hari ini, kita perhatikan bahawa seksyen itu sudah dipinda di laman web tanpa apa-apa penjelasan,” kata Vernom lagi dalam kenyataannya.
Beliau justeru menuntut penjelasan kenapa kesilapan besar itu boleh berlaku dan kenapa tiada tindakan awal diambil.
PKR juga menuntut sebuah deklarasi dibuat berhubung status agama rasmi di Sarawak supaya rakyat negeri itu tidak tertanya-tanya berkaitan perkara itu.
Vernon juga membangkitkan sama ada terdapat pakatan parti pemerintah negeri dengan Putrajaya untuk mengambil langkah tersembunyi mengislamkan Sarawak dengan halus.
“Isunya kita bukan menentang Islam tetapi kita mempertahankan hak kebebasan beragama tanpa apa apa agama rasmi sebagai termaktub dalam perlembagaan Sarawak,” katanya.
