Anwar: BA sokong perjuangan DJZ untuk pendidikan bahasa ibunda
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemimpin-pemimpin pembangkang menghadari majlis makan malam sempena ulangtahun ke-50 Dong Jiao Zong (DJZ) baru-baru ini, bagi menyatakan sokongan mereka terhadap pendidikan bahasa ibunda.
Beliau menegasan demikian ketika diminta mengulas sebuah rencana yang disiarkan oleh lamanweb Umno-Online yang mempersoalkan motif pemimpin BA menghadiri majlis tersebut.
"Saya tidak fikir ianya harus dijadikan isu. Ini memperlihatkan ketidak matangan Umno dalam memainkan isu perkauman dan kenegerian," katanya ketika dihubungi
malaysiakini
.
Menurutnya lagi, Umno seharusnya ada keberanian untuk berdepan dengan kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa, daripada menumpukan kepada 'nasionalisme sempit'.
Selain Anwar dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), majlis makan malam itu turut dihadiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PKR Azmin Ali dan Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayob.
Timbulkan isu Suqiu
Walaupun lamanweb itu menegaskan tidak salah untuk menghadiri majlis seumpama itu, tetapi ia bertanya sama ada pemimpin PAS dan PKR sudah lupa tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh Suqui sebelum ini.
Suqiu atau Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Pertubuhan Cina Malaysia, telah mencetuskan 'bantahan' apabila mengemukakan tuntutan 17 perkara pada tahun 1999, antara lain, menggesa supaya dihapuskan hak istimewa kaum bumiputera.
Tuntutan tersebut disokong oleh lebih 2,000 persatuan dan pertubuhan Cina, termasuk DJZ. Pada mulanya ia diterima oleh Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kemudiannya menggelar Suqiu sebagai "pelampau' dan menyamakan mereka dengan komunis, manakala Pemuda Umno pula mengancam untuk membakar bangunan Dewan Perhimpunan Cina Selangor, jika Suqiu tidak memohon maaf.
"Kehadiran begitu `ramai' pemimpin PAS bersama Presiden parti Keadilan menimbulkan persoalan, apakah mereka sudah lupa dengan 17 tuntutan yang pernah dikemukakan oleh persatuan Dong Jiao Zong yang menghiris hati orang-orang Melayu di negara ini?
"Atau mereka mahu `bermain politik' untuk meraih undi orang Cina dan mengambil sikap berkecuali dengan tidak menentang tuntutan Suqui demi kepentingan survival politik pembangkang dalam pilihanraya umum," tanya rencana dalam lamanweb Umno-Online itu.
Parti kaum Cina terpinggir
Mengulas lanjut mengenainya, Anwar menegaskan bahawa rencana tersebut juga, secara tidak langsung, turut mengecam ahli-ahli politik dari parti-parti komponen kaum Cina dalam Barisan Nasional (BN) yang turut menghadiri majlis makan malam tersebut.
Walaupun tidak satu nama pemimpin Gerakan dan MCA pun disebut, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berpendapat rencana itu juga memperlihatkan betapa tidak relevannya parti-parti tersebut kepada Umno.
"Rencana itu menunjukkan tidak pentingnya parti-parti tersebut di mata Umno. Saya tidak fikir mana-mana pemimpin Gerakan atau MCA yang akan menjawab, kerana mereka tidak akan berani berbuat demikian," tambahnya.
Menurut Anwar, akhbar-akhbar bahasa Cina juga pernah mengecamnya secara peribadi berhubung kredibilitinya dalam menyokong pendidikan bahasa ibunda.
"Mengikut MCA, saya seorang cauvinis Melayu. Tetapi dalam Umno, saya akan dikutuk kerana menyokong kaum Cina," katanya merujuk kepada tulisan di dalam akhbar Nanyang Siang Pau milik MCA.
Menurut Anwar, pendiriannya berhubung pendidikan bahasa ibunda sentiasa konsisten.
"Saya telah menyatakannya kepada orang Melayu dan orang Cina, sistem pendidikan nasional mesti diterima oleh semua, tetapi hak terhadap pendidikan bahasa ibunda mestilah dihormati," katanya.
PAS nyatakan sokongan
Sementara itu, Salahuddin berkata pemimpin PAS akan terus menghadiri majlis yang dianjurkan oleh DJZ walaupun jika Umno akan menggelarkan sebagai 'anti-Melayu'.
"Kami akan menyokong DJZ kerana kami menganggap pendidikan bahasa ibunda merupakan hak asasi manusia yang mesti dihormati," katanya ketika dihubungi.
Ketua Pemuda PAS itu juga menolak anggapan bahawa sokongan mereka itu tidak lebih daripada sekadar gimik politik untuk memancing undi orang bukan Melayu.
"Saya tidak yakin, dengan hanya saya menghadiri majlis makan malam, maka masyarakat Cina akan mengundi kami," katanya.
Salahuddin juga mengkritik lamanweb Umno-online itu kerana menyiarkan rencana tersebut dan mengingatkannya bahawa Malaysia merupakan sebuah negara pelbagai kaum.
Tiada komen dari MCA
Ketika dihubungi, pemimpin-pemimpin MCA Datuk Lim Si Cheng dan Senator Lee Seng Chye, yang turut menghadiri majlis makan malam itu enggan mengulas mengenainya.
"Saya tidak membaca rencana tersebut. Saya dijemput dan saya mewakili MCA. Tetapi saya tidak fikir mereka (lamanweb itu) mempersoalkan diri saya," kata Lim yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.
Manakala Senator Lee pula berkata beliau sedia memberi ulasan mengenai tulisan tersebut sekiranya ia mengandungi kenyataan-kenyataan daripada pemimpin terkemuka Umno.
"Ini negara bebas, sesiapa sahaja boleh memberi pendangan mereka," tambahnya.
Pengerusi Suqiu Quek Suan Hiang juga enggan mengulas mengenainya.
"Saya saya perlu mengulasnya? Setiap orang mempunyai pandangan mereka sendiri. Saya tidak akan dapat memahami mereka semua, jadi saya tidak akan mengulas apa-apa," katanya.