Safwan terlepas hukuman penjara, tapi didenda RM5,000

Geraldine Tong        

Muhammad Safwan Anang berjaya dalam rayuannya untuk mengurangkan hukuman berhubung tuduhan hasutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pihak pembelaan merayu terhadap sabitan bersalah, namun hakim Mohd Azman Husin hanya menerima rayuan untuk mengurangkan hukuman.

Hukuman terhadap aktivis mahasiswa berumur 26 tahun itu dikurangkan kepada denda RM5,000 atau penjara dua tahun jika gagal membayar denda.

"Kami berterima kasih dan lega keputusan yang diberikan oleh mahkamah. Sekurang-kurangnya kita mendapat sesuatu hari ini," kata Peguam Ariff Azami.

Beliau berkata, hukuman penjara 10 bulan adalah berat untuk kesalahn kali pertama dilakukan seorang mahasiswa seperti Safwan.

Ariff merupakan peguam hak asasi manusia dari kumpulan Proguam dan mengambil kes itu secara pro bono.

Rayuan balas

Sementara itu, pihak pendakwaan akan mengemukakan rayuan balas untuk meningkatkan hukuman itu, yang telah ditolak hakim.

Sebelum ini, Safwan dijatuhi hukuman 10 bulan penjara selepas didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dalam satu ucapan pada 13 Mei 2013.

Beliau dituduh membuat ucapan menghasut untuk menggalakkan orang ramai menggulingkan kerajaan yang sah melalui cara tidak sah.

Selepas didapati bersalah, beliau dibenar menangguh pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15,000.

Hakim hari ini terkejut dengan jumlah jaminan dan bertanya beberapa kali sama ada denda RM5,000 adalah berpatutan dan munasabah kepada pihak pembelaan.

Ariff berkata denda itu wajar, tetapi kemudian memberitahu pemberita bahawa walaupun begitu, mereka bercadang untuk membuat rayuan atas sabitan itu lagi.

"Kes ini tidak akan berakhir di sini tetapi sekurang-kurangnya kita mendapat sesuatu hari ini.

"(Kami berhasrat untuk) rayuan atas sabitan itu (sekali lagi). Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kemungkinan besar juga akan merayu (meningkatkan) hukuman itu," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In