Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Sidang Kemuncak Iklim 2015 (COP21) yang diadakan di Paris, Perancis berlangsung hangat. Namun, tidak pasti berapa ramai yang merasainya di Malaysia.

Ini bukanlah persidangan pertama berkaitan iklim. Ia telah berlangsung sejak sekian lama. Setiap kali menjelang persidangan, pemimpin pelbagai negara akan membuat pengumuman tentang komitmen yang bakal diberikan.

Sebagaimana persidangan terdahulu, salah satu isu utama yang dibincangkan oleh perwakilan ialah had suhu yang ingin dicapai.

Hal yang kedua adalah jumlah peruntukan kewangan yang perlu diberikan negara-negara maju kepada negara-negara membangun dan miskin yang berdepan risiko terburuk jika perubahan iklim berlaku – ditenggelami air laut atau bencana alam lain.

Setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki Moon menganggap persetujuan di Paris sebagai sebuah peristiwa bersejarah.

Sasaran jangka masa panjang yang dinyatakan ialah memastikan pemanasan iklim berada di bawah 2 darjah Celcius (3.6 Fahrenheit) dan berusaha memastikan had kenaikan suhu hanya setakat 1.5 darjah Celcius (2.7 Fahrenheit).

Perjanjian tersebut menyatakan, selepas tahun 2050, pembebasan karbon berpunca daripada aktiviti manusia (antropogenik) mestilah dikurangkan ke tahap di mana ia boleh diserap oleh hutan dan lautan.

Bagi tujuan ini, setiap negara mesti bersetuju untuk meletakkan sasaran nasional bagi mengurangkan pembebasan karbon setiap lima tahun.

Isu rumit

Ia kelihatan baik. Namun harus diingat, ia mesti dimeterai oleh sekurang-kurangnya oleh 55 buah negara, mewakili sekurang-kurangnya 55 peratus kadar pembebasan karbon ini.

Ini bukan perkara mudah. Kegagalan Protokol Kyoto mesti dijadikan teladan.

Protokol ini dirunding dan dicapai pada tahun 1997, dan hanya mendapat cukup sokongan pada tahun 2005, selepas Rusia memeterainya. Sasarannya juga bercita-cita tinggi, untuk mengurangkan pembebasan gas rumah hijau sebanyak 5.2 peratus daripada kadar pembebasan gas ini pada tahun 1990.

Negara dan rantau berlainan mempunyai tujuan yang sama dengan tanggungjawab berbeza (CBDR) menjelang tahun 2012, tempoh tamat perjanjian tersebut.

Justeru, persetujuan yang dicapai sebagai sebuah perjanjian bukanlah pemeteraian yang mempunyai kesan undang-undang.

Dua negara utama yang tidak menandatanganinya ialah Amerika Syarikat, negara pembebas gas rumah hijau terbesar di dunia dan Australia, negara pembebas gas rumah hijau terbesar per kapita.

Bagi negara yang menandatanganinya, tidak semua berjaya mencapai apa yang disasarkan – ada yang melebihi sasaran dan ada yang merosot.

Ironinya, dalam tempoh tersebut, negara industri seperti Amerika Syarikat, Persekutuan Rusia dan Kesatuan Eropah berjaya mengurangkan pembebasan karbon dioksida per kapita.

Sebaliknya, peningkatan pembebasan berlaku di negara membangun seperti China dan India yang diberi kelonggaran atas alasan ekonomi.

Rundingan demi rundingan telah dibuat, keputusan demi keputusan telah dicapai, dan pengumuman demi pengumuman telah dilakukan.

Protokol Kyoto dianggap gagal. Begitu juga dengan Sidang Kemuncak di Copenhagen pada tahun 2009.

Paling diingati semasa persidangan pada tahun 2009 itu tentulah pendedahan emel dari Unit Penyelidikan Iklim di Universiti of East Anglia yang menunjukkan berlaku manipulasi data dan usaha menyembunyikan hasil kajian yang bertentangan dengan kesimpulan yang mahu dicapai – perubahan iklim berlaku dan ia berpunca daripada aktiviti manusia.

Perjanjian terkini

Apa yang diumumkan di Paris juga bercita-cita tinggi. Tambahan pula ia merupakan persefahaman bersama yang pertama kali berlaku dalam sejarah.

Malaysia juga tidak ketinggalan menyatakan hasrat sumbangan yang ingin diberikan (INDC), iaitu mengurangi kadar pembebasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030.

Daripada jumlah ini, komitmen secara sukarela (baca: tanpa syarat) ialah sebanyak 35 peratus sementara baki 10 peratus akan diusahakan jika Malaysia menerima peruntukan dana iklim, pemindahan teknologi dan pemberdayaan keupayaan dari negara-negara maju.

Untuk rekod, data Bangsa Bersatu pada tahun 2012 menunjukkan Malaysia adalah negara ke-26 paling banyak membebaskan karbon dioksida, bersamaan dengan 0.62 peratus pembebasan gas secara global atau 6.7 metrik tan setiap tahun.

Min suhu di Malaysia meningkat antara 0.14 darjah Celcius hingga 0.25 darjah Celcius setiap 10 tahun.

Sepanjang Rancangan Malaysia ke-10 (2011-2015), Malaysia mendakwa telah pun berbelanja kira-kira RM51 billion untuk meningkatkan keupayaan bagi menghadapi perubahan iklim.

Jalan berliku

Meskipun rundingan di Paris dianggap berjaya, ia masih terlalu awal untuk diraikan.

Apa yang dipersetujui di sana hanya akan "mula dilaksana" pada tahun 2020. INDC negara-negara membangun pula mengenakan bil yang cukup tinggi untuk negara-negara maju menampung keperluan kos mereka dalam ikhtiar ini.

Semua maklumat, data dan hujah yang ada mesti disemak dengan teliti, bukan dengan pengesahan sendeng.

Kita mungkin merasakan isu alam sekitar (dalam kes ini perubahan iklim) mudah ditangani kerana semua manusia boleh bersetuju tentang kepentingannya. Namun, realitinya tidak demikian.


AMIN AHMAD pengarah eksekutif Institute for Leadership and Development Studies (LEAD).

Lihat Komen
ADS