UPP: Penyeludupan didominasi sindiket Lembah Klang
Kegiatan penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand terutamanya di Bukit Kayu Hitam dan Kota Putera di Durian Burung kini didominasi sindiket-sindiket yang berpangkalan di Lembah Klang, kata Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah.
Komandernya Abdul Latif Abdul Rahman berkata, anggota sindiket sanggup menempuh perjalanan hampir 1,000km untuk membawa barangan seludup seperti beras dan minyak petrol dari sempadan ke Lembah Klang.
Faktor keuntungan yang berlipat ganda menjadi daya penarik terbesar bagi anggota sindiket untuk menempuh kepayahan dan bahaya dalam mengharungi perjalanan yang jauh itu.
"Dalang sindiket menggunakan modal banyak, misalnya seludup beras, selepas itu mereka akan cari lori-lori yang sanggup bawa barang tersebut, biasanya bukan dari Kedah, kalau ada pun hanya alamat tipu," katanya dalam temu bual khas bersama Bernama hari ini.
Menurut Abdul Latif, sindiket bertindak berani dengan menggunakan kontena dan treler 40 kaki melalui kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan mengisytiharkan barangan bukan seperti yang dibawa.
Tangkapan terbaru di sempadan Malaysia-Thailand di Kota Putra melibatkan tiga buah treler, manakala di Bukit Kayu Hitam, melibatkan kontena dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat susunan beras di sebalik kayu-kayu, kata Abdul Latif.
Jelas beliau, trend penyeludupan seperti itu sekarang dilihat semakin berevolusi berbanding tahun 1980 dan 1990-an dulu, yang dilihat lebih kepada 'cari wang' berbanding 'cari makan'.
Ketika itu, katanya, aktiviti penyeludupan berlaku dalam kuantiti yang kecil, secara berjalan kaki ataupun lebih dikenali sebagai 'semut' yang biasanya bertujuan mencari duit untuk menampung kehidupan.
Bagi penyeludupan bahan api, beliau berkata, pihaknya mengenal pasti modus operandi digunakan penyeludup iaitu dengan menggunakan tangki lori yang tidak mempunyai logo syarikat, serta menghala ke kawasan sempadan.
"Misalnya menghala ke Durian Burung, kalau melepasi Padang Sanai selepas kilang gula kita akan tangkap terus, sebab tiada stesen minyak di kawasan itu, jadi mereka nak pergi mana," katanya.
Permintaan dan harga untuk daun ketum yang tinggi di Thailand juga, kata Abdul Latif, menjadi penyumbang kepada berlakunya penyeludupan, di mana ia boleh dijual dalam harga RM100 sekilogram berbanding RM50 satu kg di Malaysia.
"Daun ketum biasanya kita tangkap dalam kenderaan Thailand, mereka akan cuba kaburi pegawai dengan membawa anak dan isteri dalam kereta, tapi kita tahu mereka selalu sembunyikan dalam bahagian tersembunyi dalam kenderaan," katanya.
Beliau berkata walaupun Kompleks ICQ ditutup pada pukul 12 tengah malam, namun pihaknya tetap menjalankan tugas bagi memastikan kes penyeludupan tidak berlaku, terutama di kawasan panas di Kompleks Bebas Cukai (KBC).
Jelasnya, kawasan ladang kelapa sawit di belakang KBC sering dijadikan lubuk menyeludup barang-barang seperti ganja dan beras dan biasanya melibatkan rakyat Malaysia.
Jelasnya, untuk tahun ini, sebanyak 124 perolehan kes dicatatkan melibatkan nilai rampasan dan cukai RM3.2 juta, berbanding 137 kes melibatkan nilai rampasan RM3.4 juta tahun lalu.
Daripada jumlah itu, rampasan kenderaan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM2.6 juta, diikuti beras (RM255,000), diesel/petrol (RM92,178) minuman keras/rokok (RM38,425), dadah/ketum (RM47,130) dan lain-lain.
- Bernama
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.