Kumpulan pro vape gesa k'jaan negeri tangguh haram
Kumpulan pro vape menggesa kerajaan-kerajaan negeri menangguhkan pengharaman ke atas industri itu sehingga kajian terhadap peraturan bagi jualan alatan dan cecair perisanya selesai dijalankan kerajaan pusat.
Setiausaha Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move), Syamsul Reza Mohd Mokhtar memberitahu Malaysiakini terdapat kerjasama berterusan dengan kementerian berkaitan bagi menentukan peraturan yang sesuai.
"Kami hormati bahawa negeri-negeri mempunyai kuasa untuk melaksanakan larangan itu tetapi tidak akan ada sesiapa yang kalah jika menunggu peraturan-peraturan itu dikuatkuasakan.
"Sebaliknya, fikirkan penjual terjejas. Mereka berpotensi boleh kehilangan semua pelaburan mereka apabila diberi notis yang singkat untuk hentikan operasi," kata Syamsul Reza sebagai respon terhadap keputusan kerajaan negeri Kelantan menghentikan pengeluaran lesen vape berkuatkuasa 1 Januari.
Kelantan merupakan negeri kedua selepas Johor mengharamkan penjualan vape dengan isu kesihatan sebagai salah satu pertimbangan utama.
Sementara itu, Naib Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta), Iqbal Zakaria berkata kebimbangan mengenai isu vape tidak sepatutnya dijadikan isu nasional.
"Kerajaan bersetuju untuk mengawal selia industri dan bukannya untuk mengharamkan vape.
"Kami faham bahawa negeri-negeri mempunyai bidang kuasa mereka sendiri tetapi mungkin dalam kes ini adalah lebih baik bagi mereka untuk mengikuti apa yang kerajaan persekutuan lakukan," kata Iqbal.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
