Plus tolak permintaan tangguhkan kenaikan kadar tol

Pauline Puah        

Syarikat Konsesi Lebuhraya Utara Selatan (NSE) - Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) - telah menolak permintaan supaya ditangguhkan kenaikan kadar tol yang dijadualkan pada 1 Januari ini.

Permintaan tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Membantah Kenaikan Tidak Adil Kadar Tol (Cauti).

Pengerusi Cauti, Ahli Parlimen DAP bagi Seputeh, Teresa Kok berkata Plus telah memberitahu jawatankuasa itu bahawa syarikat berkenaan telah mendapat kelulusan daripada kerajaan untuk menaikkan kadar tol tersebut.

Teresa mengetuai ahli jawatankuasa tersebut untuk menghantar memorandum kepada Plus di pejabat syarikat konsesi itu di Taman Desa, Kuala Lumpur pagi ini.

Mereka meminta syarikat konsesi itu menangguhkan kenaikan kadar tol itu selama dua bulan sehingga kerajaan dan Parlimen menjalankan kajian terperinci mengenainya.

Ketibaan jawatankuasa tersebut disambut oleh Pengerusi Plus, Tan Sri Mohd Sharif Kassim dan Pengarah Urusan, Datuk Idrose Mohamed. Ini diikuti dengan majlis dialog selama dua jam.

Selain meminta penangguhan tersebut, memorandum itu juga mempersoalkan mengapa Plus secara rahsia diberikan tempoh konsesi selama 50 tahun, berbanding dengan tempoh konsesi 15 tahun yang ditawarkan pada 1987, tanpa sebarang ketelusan dan akauntabiliti kepada pembayar cukai.

Kontak dilanjutkan?

Bercakap di sidang akhbar kemudiannya, Teresa berkata, pegawai tinggi Plus juga enggan memberi salinan perjanjian yang ditandatangani syarikat tersebut dengan kerajaan.

"Plus memberitahu kami bahawa sebagai sebuah syarikat, mereka perlu bertanggungjawab kepada pemegang sahamnya," tambah beliau.

Pemimpin DAP itu juga melahirkan kebimbangannya mengenai kemungkinan tempoh kontrak untuk Plus mengutip tol akan dilanjutkan lagi dan diikuti dengan kerja menaikkan taraf NSE oleh syarikat tersebut.

"Plus memberitahu kami jika laluan Seremban ke Air Keruh yang selalu menghadapi kesesakan teruk perlu diperlebarkan, syarikat berkenaan terpaksa menaikkan kadar tol.

"Kerja menaik taraf jalan sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi kini Plus pula terpaksa melakukannya. Adalah ini bermakna kadar bayaran tol akan dinaikkan dan tempoh kontrak juga dilanjutkan?" soal Teresa.

Menurutnya lagi, Plus telah melebarkan laluan di Jelapang, Tanjong Malim dan Rawang dengan perbelanjaan yang tinggi sebanyak RM1 bilion walaupun ini tidak terdapat di dalam kontrak.

Membebankan rakyat

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang juga timbalan pengerusi Cauti, G Rajasekaran, yang turut hadir, berkata kongres tersebut akan menyokong apa juga langkah menentang kenaikan kadar tol.

"Kita tidak mengatakan kadar tol itu tidak boleh dinaikkan langsung. Tetapi mengapa 10 peratus? Ini tidak adil kepada kita. Mengapa tidak naik 2 atau 3 peratus?" soalnya.

Ahli jawatankuasa Cauti, Charles Santiago pula berkata kenaikan kadar tol itu akan membebankan rakyat miskin dan masyarakat kelas pertengahan.

"Kenaikan 10 peratus itu akan turut menaikkan harga makanan dan kos pengangkutan. Ini akan menjadi satu beban utama (kepada mereka)," tambahnya.

Sementara itu, Pemuda DAP telah membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Ipoh, Perak hari ini, untuk menggesa badan tersebut menyiasat kontrak NSE.

"Apakah ianya kontrak terbuka sebelum ianya ditawarkan kepada Plus Apakah kriteria yang menentukan bahawa Plus adalah syarikat terbaik untuk mengendalikan projek tersebut?" kata Ketuanya, Nga Kor Ming dalam laporan tersebut.

Menurutnya, rakyat kini dalam kegelapan mengenai siapakah wakil-wakil kerajaan yang menandatangani kontrak dengan Plus itu.

"Adakah bayaran pampasan yang tinggi kepada Plus itu sah di segi undang-udang? Siapa dan bagaimanakah Plus memperolehi pinjaman berjumlah RM7.1 bilion?" soalnya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In