Sukan dan politik memang serasi
ULASAN Saya tertarik dengan kenyataan kumpulan penyokong pasukan bola sepak Selangor, Anak Selangor Fans Club (ASFC) yang membantah tindakan individu mempamer kain rentang menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Kain rentang itu muncul dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu seperti dilaporkan Malaysiakini .
Pertamanya, saya tidak bersetuju bahawa sukan mestilah dipisahkan dari politik. Dari satu sisi saya mengakui bahawa sukan boleh menjadi alat untuk menyatukan perbezaan yang terdapat di dalam masyarakat.
Namun begitu, di sisi yang lain, sukan juga boleh menjadi alat untuk memaparkan gelombang yang sedang berlaku di dalam masyarakat.
Pada waktu sekarang, kita semua dapat merasakan bahawa terdapat gelombang amarah rakyat mengenai krisis politik di tanah air. Maka, usaha untuk menuntut Najib meletak jawatan tidak sepatutnya digerakkan oleh parti politik semata-mata.
Sebaliknya, ia mestilah digembleng oleh pelbagai golongan, termasuklah masyarakat sivil, NGO, kumpulan prodemokrasi, individu berpengaruh, dan sebagainya.
Jadi, tindakan peminat sukan yang menyuarakan tuntutan agar perdana menteri meletak jawatan adalah tindakan yang munasabah dengan perkembangan semasa.
Saya berpendapat, sukan tidak boleh kekal neutral di saat krisis. Saya percaya bahawa sukan wajar dijadikan medan untuk memaparkan gelojak rasa masyarakat.
Tindakan sebegini bukanlah aneh kerana itulah yang lazim terjadi pada saat krisis. Lihat saja di Eropah, sukan dijadikan alat untuk memaparkan sikap masyarakat dalam isu perang dan pelarian.
Saya fikir contoh yang sama boleh ditemukan dalam banyak isu yang lain lagi di pelbagai tempat di seluruh dunia.
Maka, saya berpendirian bahawa mencampur-adukkan sukan dengan politik bukan sebuah kerja terlarang. Ia adalah kerja terpuji di saat negara sedang dilanda bermacam-macam krisis.
Kita memerlukan lebih ramai anggota masyarakat yang sanggup bersuara dan menyatakan sikap mereka sama ada menerusi politik, agama, pendidikan, sukan, atau pelbagai lagi medan yang dianggap berkesan.
Saya ingin mengucapkan sekalung tahniah untuk mereka yang berani berterus terang dalam menyatakan realiti masyarakat hari ini.
Menghalang sukan dari bersifat politik adalah seperti percubaan untuk memisahkan jiwa manusia dengan raganya.
Sukan, termasuk bolasepak, adalah medan untuk kita meluahkan perasaan. Sebagaimana yang diungkapkan Martin Keown, bekas pemain pertahanan Arsenal, “bola sepak penuh dengan emosi.”
DIAN ANAIS peminat kelab bolasepak St Pauli.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
