Gerakan Merah isytihar Kompleks Kota Raya ‘panas’ petang ini
‘Gerakan Merah’ mengumumkan akan mengadakan satu perhimpunan di Kompleks Kota Raya di ibu negara petang ini.
Presiden Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom berkata, perhimpunan yang dijangka "panas" seperti yang berlaku di Plaza Low Yat, Julai lalu berikutan tindakan seorang peniaga telefon bimbit berbangsa Cina yang mengurung pelanggannya.
"Perhimpunan ini pasal kedai jual telefon yang tipu dan mengunci pelanggannya. Kita nak pergi tengok apa sebenarnya yang terjadi. Perkara ini ibarat di Low Yat.
"Kita tak mahu peniaga ini sewenangnya menipu dan ambil tindakan undang-undang sendiri," katanya ketika dihubungi
Malaysiakini
.
Ditanya apakah yang akan dilakukan oleh Gerakan Merah petang ini, beliau berkata:
"Saya yakin dan percaya, benda ini akan jadi macam Low Yat. Jadi dengan kebijaksanaan saya sebagai ketua Gerakan Merah, saya akan selesaikan dengan cara berhemah dan tak gunakan kekerasan," katanya.
Ali merancang untuk mengadakan perhimpunan di Kompleks Kota Raya pada jam 4 petang.
Bagaimanapun, Ali atau dikenali sebagai "Ali Tinju" berkata, dia tidak dapat memastikan anggaran jumlah yang akan hadir pada petang ini.
"Saya yakin begitu ramai yang akan turun tapi saya tak pasti juga kerana sekarang waktu bekerja tapi yakin ramai.
"Tapi flow petang ini mungkin amat "panas"," katanya lagi.
Dua hari lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang lelaki 'dikurung' di sebuah bilik kecil selama empat jam oleh beberapa lelaki tidak dikenali akibat tidak mahu meneruskan pembelian telefon bimbit.
Lelaki tersebut dilaporkan tertarik dengan tawaran membeli sebanyak empat telefon bimbit pada harga RM200 setiap satu tetapi kemudiannya diminta membayar RM10,000.
Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Alias Ahmad dalam satu kenyataan berkata kes itu dibawa ke Tribunal Pengguna Kuala Lumpur pada 24 November lalu.
Pada keputusannya Selasa lalu, tribunal itu mengarahkan seorang peniaga telefon bimbit untuk memulangkan kembali RM5,000 kepada pengadu.
Katanya, selepas keputusan itu, pengadu bersama wakil Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pergi ke kedai berkenaan untuk membuat tuntutan.
"Peniaga mengembalikan RM5,000 manakala pengadu memulangkan semula empat telefon bimbit,” kata Alias.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
