Pengharaman vape: NGO, peniaga mahu ke mahkamah

Zulaikha Zulkifli        

NGO yang mewakili peniaga dan pengusaha rokok elektronik (vape) akan mencabar negeri-negeri yang dilapor akan mengharamkan peralatan tersebut.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya akan memfailkan injunksi bagi menghalang kerajaan Kelantan dan Johor yang mahu mengambil tindakan terhadap mereka.

"Kita akan bawa ke mahkamah dan tuntut ganti rugi kerana memberikan tempoh masa yang singkat kepada peniaga vape.

"Kita juga akan pastikan peniaga dapat berniaga seperti biasa," katanya dalam sidang media bersama pengusaha vape di ibu negara hari ini.

Ridzuan berkata, pihaknya bersama peguam akan memfailkan injuksi tersebut pada minggu depan.

Sementara itu, wakil kepada peniaga vape, Hafiz Rahman melahirkan rasa kecewanya apabila pihak kerajaan dilihat ingin menutup industri tersebut.

Katanya, apa yang lebih menyedihkan apabila rokok masih lagi dibenarkan penjualannya berbanding vape.

"Sedih dengan apa yang berlaku dalam industri kami sebab ada yang dah mula berniaga pada 2009. Ada peniaga yang telah melabur cukup banyak sampai peringkat juta-juta.

"Rokok terang-terang ada nikotin tetapi boleh pula jual dan dibeli di mana-mana sahaja sebab rokok diberi pengecualian dalam Akta Racun.

“Ini ketidakadilan berlaku. Kami memohon supaya kerajaan dan perdana menteri sendiri ambil peduli tentang permasalahan kami ini," katanya.

Rabu lalu, kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri tersebut dan berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.

Sebelum itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga bertitah untuk mengharamkan vape dan berkuat kuasa pada tarikh sama.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In