Insiden Kota Raya isu pengguna, bukan perkauman

   

Insiden seorang peniaga telefon bimbit di Kompleks Kota Raya yang menipu pelanggannya merupakan isu hak pengguna, kata Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Justeru, persatuan yang memperjuangkan isu-isu berkaitan Melayu-Islam itu berkata, mereka tidak menyokong mana-mana pihak yang menjadikan isu tersebut sebagai isu perkauman.

Dalam kenyataan medianya semalam, PPIM turut menegaskan isu berkaitan pelanggan yang ditipu peniaga telefon bimbit itu perlu dilihat dari perspektif hak pengguna.

"Kita telah ada banyak masalah, harus dilihat ke arah jalan penyelesaian dan bukannya kerosakan yang lebih teruk

"Ditegaskan kes tersebut dilihat dari sudut kepenggunaan. Kami tidak menyokong mana-mana pihak yang mengambil kesempatan untuk mensensasikan hal ini kepada isu perkauman," kata persatuan itu.

Dua hari lalu, seorang pelanggan didakwa dikurung pekedai di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur itu dengan tujuan memaksa pelanggan tersebut membeli telefon bimbit.

Ekoran kejadian tersebut, semalam Presiden Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom menganjurkan satu bantahan sebagai tindak balas kejadian penahanan pelanggan tersebut.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju berkata, beliau akan mengadakan perhimpunan yang didakwa "panas" seperti Low Yat di hadapan Kompleks Kota Raya.

Bagaimanapun perhimpunan itu tidak menjadi seperti dirancang apabila hanya kira-kira 20 orang sahaja daripada Gerakan Merah yang hadir dan ia bertukar menjadi satu sidang media.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In