Laporan polis terhadap Zainal Rampak dan Nadicorp

Muda Mohd Noor        

Seramai 136 bekas pekerja anak syarikat Nadi Corporation Sdn Bhd (Nadicorp) membuat laporan polis kerana mendakwa berlaku penyelewengan di dalam kes pembuangan pekerja syarikat tersebut pada bulan September lalu.

Mereka juga membuat laporan polis terhadap Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Zainal Rampak kerana didakwanya menyebelahi pihak Nadicorp serta memaksa pekerja menerim tawaran pampasan tersebut.

Wakil pekerja Abdul Aziz Samsudin membuat laporan polis itu di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira jam 5.30 petang semalam. Manakala satu lagi laporan dibuat oleh bekas pekerja Mohd Redhwan Harun terhadap Nadicorp.

Laporan polis itu dibuat bagi membolehkan kes mereka dibawa ke mahkamah dan mereka telah menyerahkannya kepada pihak peguam untuk tindakan selanjutnya.

Mereka mendakwa, pembuangan kerja bagi kakitangan mekanik dan perkeranian dibuat bagi memberi ruang kepada syarikat luar luar membekalkan tenaga kerja yang ditinggalkan oleh mereka.

"Pada awal bulan September lalu, pengurusan Nadicorp mengeluarkan notis mengatakan kami semua akan diberhentikan berkuatkuasa 30 September 2004 dan syarikat akan membayar pampasan kepada semua yang terlibat.

Pampasan

"Bagaimanapun, beberapa hari kemudian mereka menukar notis daripada pemberhentian kepada Skim Pemberhentian Sukarela (VSS). Malangnya pampasan yang dibayar cukup rendah dan tidak seperti yang sepatutnya.

"Pekerja yang bekerja kurang lima tahun dibayar 10 hari bekerja untuk setahun perkhidmatan, lima hingga 10 tahun dibayar sebulan untuk setahun perkhidmatan dan 10 tahun ke atas dibayar 45 hari untuk setahun perkhidmatan," katanya.

Menurutnya, pengurusan Nadicorp memberi alasan utama kepada tindakan pembuangan tersebut ialah kerana penyususan semula syarikat dan ini tidak boleh diterima kerana pada masa yang sama mereka melantik pembekal pekerja lain untuk bekerja di bengkel bas kumpulan Nadicorp

"Bagaimana syarikat memberi alasan tersebut sedangkan mereka mengambil pekerja dari Burma, Bangladesh untuk bekerja sebagai mekanik di bengkel mereka," katanya..

Pekerja yang membuat pemeriksaan di Pejabat Buruh diberitahu bahawa perkiraan tersebut adalah silap dan mereka sepatutnya mendapat lebih daripada itu.

Pada 6 Jun 2000, Nadicorp menandatangani perjanjian dengan Mara untuk mengambilalih anak-anak syarikat agensi tersebut termasuk perkhidmatan bas ekspres yang berada di bawah naungannya.

Perjanjian

Dalam perjanjian tersebut Nadicorp setuju menyerapkan semua pekerja anak syarikat Mara dan tidak akan membuang mereka dalam tempoh lima tahun pertama. Pekerja juga akan mendapat saham dari Nadicorp.

"Namun tidak sampai lima tahun 136 pekerja telah dibuang dan ini saya anggap melanggar perjanjian yang dibuat pada tahun 2000 dulu," tambahnya sambil menambah jumlah keseluruhan pekerja di bawah kumpulan Nadicorp ialah sekitar 1,200 orang..

Abdul Aziz berkata, mereka membuat laporan kepada Zainal Rampak yang juga Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Pengangkutan Semenanjung Malaysia bagi mendapat penyelesaian bagaimanapun tidak berjaya.

Walaupun, Zainal berjanji untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut selain mencari kerja baru kepada pekerja yang terlibat, sehingga sekarang ia terbengkalai begitu sahaja.

Berikutan itu, ramai pekerja yang terlibat dengan pembuangan tersebut mencari kerja lain seperti menjadi pengawal keselamatan, dan ramai juga yang masih mengganggur dan ini membebankan kerana mereka ramai tanggungan.

Sementara itu, kata Aziz, wakil pekerja terbabit akan menghantar memorandum kepada Suruhjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) esok.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In