Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penggunaan teknologi solar untuk menjana elektrik, yang bukan sahaja menjimatkan api serta mesra alam, kini turut dimanfaatkan dalam projek pertanian.

Setelah menjalankan kajian selama dua tahun, Cypark Resources Berhad (Cypark), syarikat tenaga boleh diperbaharui terbesar negara, berjaya membangunkan Taman Tenaga Solar yang merupakan tapak ladang Agri-Solar terbesar di dunia, bertempat di Kampung Wai, Kuala Perlis.

Menggunakan kaedah Pertanian Moden Berintegrasi Tenaga Solar (AIPV), ladang berkeluasan dua hektar dengan tanaman buah 'rock melon', pokok misai kucing, stevia, terung, petola, kacang bendi dan cili dibangunkan sejak awal tahun ini.

"Itulah apa yang kami cuba lakukan dan buktikan dengan menggabungkan penjanaan tenaga lestari dan pertanian moden rumah hijau di negara yang beriklim tropika (seperti Malaysia)," kata Pengurus Besar Cypark Achmat Nadhrain Ibrahim ketika ditemui pemberita yang menyertai Kembara Media Jabatan Penerangan ke Perlis baru-baru ini.

Dua dalam satu

Cypark, yang juga sebuah syarikat penjana dan pembekal elektrik kepada Tenaga Nasional (TNB), setakat ini mempunyai lima ladang solar termasuk di Perlis, tiga di Negeri Sembilan dan satu di Pontian, Johor.

Ladang itu bukan sahaja menjana empat megawatt tenaga solar sehari yang mampu memberi manfaat kepada kira-kira lapan ribu isi rumah di kampung berhampiran, malahan menjalankan pertanian moden rumah hijau dengan menggunakan sistem fertigasi automatik.

"Syarikat ini terlibat dalam projek solar sejak 2012 tetapi kami sering tertanya apakah yang boleh dilaksanakan bagi memaksimumkan penggunaan tanah agar tidak membazir sebegitu sahaja.

"Selama ini tanah yang berada di bawah panel solar tidak digunakan dan tidak membawa apa-apa keuntungan, hinggalah pada 2013 kami membuat kajian pertanian di ladang solar kami di Pajam, Negeri Sembilan dengan membangunkan rekabentuk yang menggabungkan solar dan tanaman sebagai percubaan," katanya.

Memandangkan negara beriklim tropika, tidak semua tanaman sesuai ditanam di bawah panel solar, tambahan lagi apabila cahaya tidak dapat menembusi panel tersebut.

Tanaman bersesuaian

Achmat Nadhrain berkata kajian hampir dua tahun yang dijalankan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akhirnya membuahkan hasil apabila beberapa jenis tanaman berkomersil tinggi, dikenal pasti sesuai untuk ditanam di bawah panel solar.

Menurut penyelidikan, bagi memperoleh keputusan optimum, panel solar di ladang berkenaan perlu didirikan pada ketinggian kira-kira 2.5 hingga 2.8 meter dari atas tanah bersama-sama dengan panel lutsinar bagi membolehkan cahaya menembusinya.

Selain panel solar, kajian berkenaan mengambil kira semua faktor berkaitan seperti bumbung lutsinar yang turut digabungkan bagi membenarkan cahaya menembusi di samping spesifikasi seperti faktor cahaya, kelembapan dan suhu.

"Kini, ladang Agri-Solar di Perlis, kira-kira 80 peratus keluasan di tapak berkenaan ditanam dengan 'rock melon' dan selebihnya tanaman pokok misai kucing, stevia, terung, petola, kacang bendi dan cili... dan kita sedang cuba sayuran kailan pula," katanya.

Achmat Nadhrain berkata penanaman dengan menggunakan kaedah AIPV ini menghasilkan tanaman yang berkualiti tinggi kerana ia ditanam dalam keadaan tertutup yang menyukarkan serangga untuk masuk, selain pemerhatian rapi.

Beliau berkata ketika ini tanaman yang dituai hanya dijual kepada vendor terpilih sahaja memandangkan kuantiti yang dihasilkan belum cukup banyak untuk dikomersilkan secara besar-besaran.

Setakat ini semua tanaman habis dijual dan mendapat sambutan yang memberangsangkan meskipun hanya dijual secara kecil-kecilan.

"Dalam masa sama, kita juga sedang mengenal pasti pasaran sama ada di dalam atau di luar negara... contohnya 'rock melon' kita berhasrat untuk dieksport ke luar negara kerana ia boleh mencapai harga yang tinggi hingga mencecah RM100 sekilogram.

"Projek akan datang, kami merancang untuk menghasilkan produk jem, puri, jus, kerepek dan sebagainya menggunakan buah-buahan yang dituai tetapi tidak menepati gred tertentu," katanya.

Pelbagaikan aktiviti

Beliau berkata proses pembajaan dan penyiraman air dilakukan secara automatik. Pekerja hanya datang untuk memeriksa prestasi pertumbuhan tanaman termasuk kemungkinan diserang hama atau kulapuk.

"Serangga kecil mudah masuk dan menyerang tanaman di dalam rumah hijau sekiranya tidak berhati-hati... justeru pemerhatian rapi perlu dilakukan oleh pekerja termasuk mematuhi cara berpakaian," katanya.

Selain pertanian, Achmat Nadhrain berkata aktiviti penternakan juga sesuai dijalankan di kawasan ladang solar.

"Objektif utama kami adalah pada masa hadapan apa sahaja projek yang melibatkan pembinaan sistem solar, aktiviti boleh dipelbagaikan di tempat tersebut... tidak semestinya terhad kepada aktiviti pertanian sahaja.

"Di kawasan solar terbuka di sini, kami bela 26 ekor kambing sebagai kajian untuk kami buktikan bahawa penternakan juga boleh dilakukan dan secara tidak langsung kepelbagaian ekonomi dapat dijalankan di satu tempat," katanya.

Cahaya lebih terang

Mengapa Perlis yang dipilih?

Achmat Nadhrain berkata Perlis dipilih kerana keadaan tanah dan udara yang sesuai selain pencahayaan yang 'lebih terang' berbanding negeri lain, membuatkan ia amat sesuai untuk aktiviti Agri-Solar.

"Kadar cahaya lebih terang dan pencahayaannya lebih panjang dari negeri-negeri lain, ia bagus dan efisien bukan sahaja untuk sistem solar itu tetapi juga untuk tanaman.

"Kami memang ada perancangan untuk melaksanakan projek ini di lokasi baharu pula pada masa hadapan, kos menjalankan aktiviti pertanian dengan sistem solar juga lebih rendah berbanding pertanian konvensional tanpa solar," katanya.

Beliau berkata hanya seramai 10 pekerja tempatan termasuk tiga jurutera wanita sahaja yang bertugas mengendalikan ladang Agri-Solar itu.

Achmat Nadhrain berkata inovasi rekabentuk yang dibangunkan Cypark juga telah dipatenkan di negara ini dan ia kini sedang di dalam proses untuk dipatenkan di negara Asia yang lain.

- Bernama

Lihat Komen
ADS