Tanah runtuh di Shenzhen - 33 bangunan tertimbus, 91 hilang
GLOBAL l Jumlah mangsa yang hilang selepas kejadian tanah runtuh yang menimbuskan 33 bangunan di zon perindustrian di bandar raya Shenzhen di selatan China dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya 91 hilang.
Perdana Menteri Li Keqiang mengarahkan siasatan rasmi berhubung bencana itu yang menimpa China selepas letupan kimia besar di pelabuhan utara Tianjin membunuh lebih daripada 160 orang, empat bulan lalu.
Reuters melaporkan banjir lumpur melanda bangunan berbilang tingkat di taman perindustrian Hengtaiyu di barat laut Guangming di bandar itu pada pagi Ahad.
Agensi berita Xinhua pula melaporkan, bencana itu menimbus puluhan bangunan di zon perindustrian di Shenzhen, pusat pengeluaran utama di wilayah Guangdong bersempadan Hong Kong.
Biro keselamatan awam Shenzhen menyiarkan notis secara online hari ini memaklumkan sekurang-kurangnya 91 orang dilaporkan hilang. Tiada laporan kematian diterima.
Mengikut Xinhua yang memetik pakar pakar geologi di lokasi kejadian, kawasan seluas lebih 60,000 meter persegi ditimbuni lumpur hingga enam meter.
Timbalan Ketua Setiausaha kerajaan bandar Shenzhen, Li Yikang dalam sidang akhbar berkata, lebih 900 orang sudah dipindahkan dalam usaha menyelamat yang membabitkan hampir 1,500 orang.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
