'Najib tidak akan jadi diktator dengan Akta MKN'
Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara 2015 tidak akan menjadikan perdana menteri, selaku pengerusi majlis itu seorang diktator, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, hari ini.
"Kuasa-kuasa yang diberikan di bawah undang-undang itu tidak akan membuat perdana menteri menjadi diktator.
“Ini kerana kuasa untuk mengisytiharkan darurat masih kekal dengan Yang di-Pertuan Agong," kata Shahidan ketika membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara.
Beliau juga menafikan bahawa perdana menteri mempunyai kuasa yang meluas dalam mengisytiharkan mana-mana tempat sebagai kawasan keselamatan seperti yang termaktub mengikut Seksyen 18, akta berkenaan.
"Perdana Menteri hanya mengisytiharkan kawasan keselamatan atas nasihat Majlis Keselamatan Negara, bukan atas kapasiti individu beliau. Ahli-ahli yang duduk dalam majlis itu mempunyai pengetahuan tentang keselamatan negara.
"Oleh itu, tuduhan bahawa undang-undang ini akan memberi perdana menteri kuasa yang luas adalah tidak berasas," kata Shahidan.
Adalah dijangka bahawa dewan Negara akan meluluskan rang undang-undang itu esok - iaitu hari terakhir sesi persidangan.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
