EU jangan campur hal Malaysia, kata Isa Samad
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad hari ini mengingatkan Kesatuan Eropah (EU) dan negara lain supaya tidak campur tangan dalam isu berkaitan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut Ahli Parlimen Jempol itu, setiap negara menggubal undang-undang mengikut perkembangan semasa bagi menjaga keselamatan dan kepentingan setiap negara.
“EU atau negara yang lain dia memang dari dulu beri pandangan yang sama pada Malaysia, sentiasa bagi pandangan yang negatif… pada hal undang-undang ni satu keperluan seperti di negara lain.
“Macam di England selepas berlaku peristiwa 11 September ada pula enakmen yang dibuat bagi menjaga keselamatan. Masing-masing negara (yang) bila menghadapi (ancaman) IS akan buat undang-undang.
“(EU) tak patut campur, ini undang-undang kita, nak jaga kepentingan kita, keselamatan kita,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Kolej Yayasan Felda di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur.
Isa turut memberi contoh mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang menimbulkan keresahan di kalangan rakyat terutamanya bumiputera.
Bagaimanapun katanya, setelah rakyat ‘difahamkan’ mengenai kelebihan TPPA, semua pihak kini tidak perlu merasa bimbang.
“Macam TPPA Datuk (Seri) Najib sebut yang kita risaukan bumiputera, dia (rakyat) sudah terima jadi selesai lah masalah (TPPA), ini proses memahamkan (rakyat),” katanya.
Minggu lalu, Parlimen Eropah yang merupakan sebahagian daripada cabang perundangan EU, meluluskan 17 resolusi dalam sidang di Strasbourg, Perancis.
Ia antaranya menyatakan kebimbangan terhadap keadaan hak asasi di Malaysia termasuk tindakan keras terhadap aktivis masyarakat dan politik, ahli akademik dan media.
Parlimen itu juga membangkitkan jumlah individu yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.
Selain itu ia turut menyentuh isu terbaru Akta MKN yang berdepan kritikan terhadap kemungkinan berlaku pemusatan kuasa di tangan perdana menteri.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
